KUALA LUMPUR 12 Sept - Kementerian Kewangan (MoF) menjelaskan, makanan haiwan serta kacang soya mentah dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sebagai langkah kerajaan memastikan kestabilan harga barangan makanan asas seperti ayam, telur dan daging.
Selain itu, makanan haiwan termasuk kacang soya mentah yang merupakan komponen utama dalam penghasilan makanan haiwan telah juga dikecualikan daripada Cukai Jualan.
"Keputusan ini dibuat berdasarkan maklum balas industri bahawa kacang soya merupakan input utama dalam penghasilan makanan haiwan," kata MOF dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi bahan mentah lain yang turut digunakan dalam formulasi makanan haiwan, MoF sedang meneliti isu ini secara menyeluruh, termasuk melalui sesi libat urus dan semakan teknikal bersama pihak berkepentingan.
“Kerajaan MADANI kekal komited memastikan dasar percukaian yang lebih adil, mampan, serta menyokong daya saing sektor penternakan negara,” jelas kenyataan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengimport makanan ternakan beri amaran SST naikkan kos ayam, telur dan daging
Langkah ini dijangka melegakan penternak ayam dan haiwan ternakan lain yang berdepan kenaikan kos input sejak kebelakangan ini, di samping mengelakkan kenaikan harga makanan kepada pengguna. - DagangNews.com








