KUALA LUMPUR 26 Feb – Jentayu Sustainables Berhad (JSB) berjaya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi di sini bagi menghalang penganjuran Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan undang-undang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, mahkamah hari ini membenarkan permohonan injunksi interlokutori yang difailkan oleh Datuk Beroz Nikmal Mirdin terhadap JSB dan 15 yang lain.
"Perintah tersebut menghalang semua defendan daripada memanggil dan mengendalikan atau mengambil sebarang langkah untuk memanggil serta mengendalikan EGM yang dicadangkan pada 27 Februari 2026, atau mana-mana mesyuarat berdasarkan Notis EGM bertarikh 12 Februari 2026, sehingga pelupusan Saman Pemula," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, firma guaman Messrs Kennie Ang & Co yang mewakili Vong Chee Kian (Defendan Kedua) serta Messrs Mak LK & Co yang mewakili Andy Lai Wee Young (Defendan Keempat) telah memaklumkan kepada peguam Plaintif bahawa kedua-dua defendan tersebut menarik balik Notis EGM bertarikh 12 Februari 2026.
JSB berkata, pihaknya akan membuat pengumuman lanjut dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan perkara tersebut.
Pada 12 Feb lalu Jentayu telah menerima notis daripada sekumpulan 15 individu yang mendakwa memegang sekurang-kurangnya 10% saham biasa terbitan dan berbayar, untuk memanggil EGM.
EGM tersebut dijadualkan berlangsung di Petaling Jaya pada 27 Feb dengan 16 resolusi akan dibentangkan, termasuk cadangan untuk menyingkirkan beberapa pengarah sedia ada serta melantik pengarah baharu.
Namun, hasil semakan lanjut mendapati terdapat maklumat mengelirukan yang diberikan dan sebahagian daripada pihak yang memohon EGM itu sebenarnya bukan ahli syarikat.
Pada 20 Feb, Jentayu mengisytiharkan cadangan EGM itu sebagai tidak sah dan menyalahi undang-undang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menjelaskan bahawa kesemua 15 individu berkenaan secara kolektif tidak memegang sekurang-kurangnya 10% daripada modal saham terbitan syarikat pada setiap masa yang material, seperti yang dikehendaki di bawah peruntukan undang-undang bagi memanggil EGM.
Selain itu, syarikat turut menerima sepucuk surat daripada salah seorang daripada 15 individu tersebut yang menyatakan bahawa beliau tidak pernah menandatangani sebarang dokumen untuk membenarkan notis EGM dikemukakan kepada syarikat atau mana-mana pihak bagi tujuan memanggil mesyuarat berkenaan. - DagangNews.com








