KUALA LUMPUR 3 Julai - Dalam mengekalkan tanggungjawab Public Bank Bhd terhadap kebocoran maklumat sensitif pelanggan, Mahkamah Persekutuan menegaskan, kewajipan untuk menjaga kerahsiaan terletak secara langsung kepada bank, dan bukan semata-mata kepada pegawai atau kakitangannya.
Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli dalam alasan penghakimannya terhadap saman yang dibawa oleh National Feedlot Corporation (NFCorp), menyatakan, Seksyen 97(1) Akta Institusi Kewangan dan Perbankan 1989 yang kini telah dimansuhkan, dengan jelas menyebut, obligasi undang-undang tersebut terpakai secara langsung ke atas bank.
“Hujah bahawa kewajipan kerahsiaan bank di bawah Seksyen 97(1) tidak ditujukan kepada bank tetapi kepada pengarah atau pegawainya adalah tersasar,” katanya.
Abdul Rahman menekankan, bahagian pertama Seksyen 97(1) melarang seorang pengarah, pegawai, biro luar, atau ejen yang dilantik bank daripada menjalankan mana-mana bahagian urusan perniagaan bank — yang tidak berkaitan dengan kewajipan kerahsiaan bank itu sendiri.
Namun, “apa yang perlu difahami ialah bahagian kedua” yang mengenakan kewajipan kerahsiaan tersebut ke atas bank, kata Abdul Rahman.
ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Persekutuan arahkan Public Bank bayar ganti rugi RM90 juta kepada NFCorp
Selain itu, tiada satu pun pengecualian untuk pendedahan dalam kes-kes terhad di bawah Seksyen 97(2), 98(1), atau 99(1) undang-undang yang ketika itu lebih dikenali sebagai BAFIA, yang terpakai dalam kes ini, kata Abdul Rahman.
“Tiada satu pun pengecualian berkanun ini yang menyebelahi Public Bank dan tiada yang dihujahkan dalam pembelaannya.
“Oleh itu, pelanggaran Seksyen 97(1) oleh bank perlu dianggap sebagai tanpa justifikasi," katanya.
Pengecualian dalam undang-undang asing juga tidak terpakai apabila terdapat undang-undang bertulis sedia ada di Malaysia, menurut Seksyen 3(1) Akta Undang-Undang Sivil 1956, tambah beliau.
Abdul Rahman adalah sebahagian daripada keputusan sebulat suara bersama Ketua Hakim Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, yang kini menjalankan tugas Ketua Hakim Negara sehingga jawatan itu diisi, serta Datuk Abu Bakar Jais dalam mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2023 bahawa bank telah melanggar kewajipan statutori dan kontraktual untuk menjaga kerahsiaan di bawah BAFIA.
Dua minggu lalu, Mahkamah Persekutuan telah menganugerahkan ganti rugi berjumlah RM90 juta kepada NFCorp, termasuk ganti rugi ekuiti, teladan dan keterlaluan, kepada empat individu lain termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, selepas menolak rayuan Public Bank.
Panel hakim turut memerintahkan bank membayar faedah sebanyak 2% ke atas jumlah tersebut berkuat kuasa Rabu, 18 Jun 2025, sehingga bayaran ganti rugi diselesaikan.
Lembu dalam kondominium
Kes itu berpunca daripada satu sidang media yang diadakan pada 7 Mac 2012 oleh Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli, yang kini merupakan bekas Menteri Ekonomi, di mana beliau mendedahkan dokumen dalaman bank berkaitan permohonan pinjaman oleh Mohamad Salleh dan anaknya.
Mohamad Salleh ialah suami kepada Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan.
ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Persekutuan putuskan Public Bank perlu bayar ganti rugi atas pelanggaran kerahsiaan NFCorp
Dokumen tersebut, dikenali sebagai Lampiran E, mengandungi penilaian pinjaman bagi pembelian kondominium di KL Eco City. Walaupun tawaran pinjaman itu akhirnya ditarik balik dan tiada pinjaman yang dimuktamadkan, maklumat tersebut mencetuskan kontroversi nasional dan kemudian dikenali sebagai skandal “lembu dalam kondominium”.
Dalam penghakimannya, Mahkamah Persekutuan dengan tegas menolak hujahan Public Bank bahawa ia tidak boleh dipertanggungjawabkan atas tindakan dua orang pekerjanya — Cheam Chen Hooi dan Johari Mohamad — yang telah mengakses dan membocorkan dokumen tersebut tanpa kebenaran.
Pihak bank berhujah, kedua-dua pekerja tersebut bertindak di luar skop tugas mereka, dan oleh itu, liabiliti tidak sepatutnya dikenakan ke atas institusi tersebut.
Kes NFCorp
Tindakan saman asal di Mahkamah Tinggi telah difailkan NFCorp, Mohamad Salleh, National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, dan Real Food Company Sdn Bhd terhadap Public Bank atas kebocoran maklumat akaun mereka serta rancangan pembelian hartanah di KL Eco City.
Mahkamah Tinggi pada ketika itu tidak mendapati Public Bank telah melanggar kerahsiaan.
Namun pada 30 Ogos 2023, Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan bahawa Public Bank bertanggungjawab atas pelanggaran kewajipan kerahsiaan. Mahkamah hanya menganugerahkan ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 dan mengarahkan Public Bank membayar kos guaman sebanyak RM500,000.
Dalam membatalkan keputusan tersebut, Mahkamah Rayuan memutuskan hakim Mahkamah Tinggi telah mengabaikan bukti penting daripada siasatan dalaman bank terhadap bekas keraninya, Johari, yang terlibat dalam kebocoran dokumen sulit itu.
NFCorp kemudiannya membawa kes itu ke mahkamah tertinggi negara tahun ini untuk merayu agar jumlah ganti rugi ditingkatkan, manakala Public Bank turut merayu tetapi gagal untuk membatalkan keputusan tersebut.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili NFCorp sebelum ini memberitahu panel hakim bahawa anak guamnya menuntut sehingga RM560 juta sebagai ganti rugi: RM60 juta bagi ganti rugi am, RM250 juta sebagai ganti rugi teladan, dan lagi RM250 juta sebagai ganti rugi keterlaluan.
Shafee berkata, hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi tidak mengambil kira bahawa anak guamnya telah mengalami kerugian serius akibat pelanggaran kerahsiaan oleh pihak bank.- DagangNews.com








