Magma sahkan Pengerusi Eksekutif Kumpulan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan MBI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Magma sahkan Pengerusi Eksekutif Kumpulan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan MBI

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Magma Group Berhad hari ini mengesahkan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Lee Hock Seng sedang membantu pihak berkuasa berhubung siasatan berkaitan isu skandal MBI.

 

Bagaimanapun kumpulan itu dalam kenyataan menegaskan, siasatan tersebut tidak ada kaitan dan tidak melibatkan perniagaan atau operasi Magma Group Berhad atau mana-mana subsidiarinya.

 

"Lembaga Pengarah ingin menekankan bahawa perkembangan ini tidak menjejaskan kedudukan kewangan, operasi harian, atau pelan strategik kumpulan. 

 

"Magma kekal komited untuk mengekalkan kesinambungan operasi dan memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham serta pihak berkepentingan,' kata kenyataan itu.

 

Media (bukan DagangNews.com) sebelum ini menyiarkan berita bertarikh 16 Ogos 2025 bertajuk “Skandal MBI: Selepas Tan Sri Alex Oii, kini Dato’ Sri Lee Hock Seng Pengerusi Magma Group Dato’ Low Eng Hock CEO Ivory Properties ditahan” bagi membantu siasatan skandal MBI.

 

“Kami ingin memberi keyakinan kepada pemegang saham, rakan niaga, dan pihak berkepentingan bahawa perkara ini tidak memberi kesan kepada projek berjalan, kedudukan kewangan, atau prospek masa depan Magma. 

 

"Fokus kami tetap kepada memperkukuh asas Kumpulan, melaksanakan strategi pertumbuhan, dan mendorong penciptaan nilai yang lestari," kata kenyataan itu lagi.

 

Katanya, Magma akan memantau situasi dengan teliti dan akan membuat pengumuman kepada Bursa Malaysia selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama sekiranya terdapat sebarang perkembangan material.

 

"Kenyataan ini bertujuan untuk menyediakan ketelusan serta menegaskan komitmen Magma terhadap tadbir urus korporat yang baik, pendedahan tepat pada masanya, dan keyakinan pihak berkepentingan," ujarnya.

 

Media sebelum ini melaporkan lebih 24 individu telah ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap MBI, skim piramid yang melibatkan deposit berjumlah ratusan juta ringgit daripada pelabur termasuk dari China.

 

Skim itu ditumpaskan pihak berkuasa di Pulau Pinang pada 2018 tetapi diteruskan di Danok, Thailand untuk beberapa tahun berikutnya sehingga dalang utama, Tedy Teow, ditangkap pada 2022 dan diekstradisi ke China untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu.

 

Pada ketika itu, wang MBI dilaburkan terutamanya dalam sektor hartanah, khususnya di Pulau Pinang dan Kedah.  - DagangNews.com