KUALA LUMPUR 25 April — Magma Group Berhad melengkapkan proses pembelian sebidang tanah pajakan yang berkeluasan 0.91 hektar dan terletak di sepanjang Persiaran Dutamas, di ibu negara pada nilai sebanyak RM80 juta.
Kumpulan itu yang sebelum ini dikenali Impiana Hotels Berhad berkata, pemerolehan berkenaan menandakan satu langkah penting dalam strategi pertumbuhan yang semakin pesat berkembang terhadap pembangunan hartanah bandar di Malaysia.
Pembelian tersebut katanya, telah diluluskan oleh pemegang saham ketika Mesyuarat Agung Luar Biasa Kumpulan (EGM) pada 21 Mac 2025 dengan mereka turut meluluskan dua cadangan lain yang disertakan.
"Antaranya ialah pengurangan modal saham terbitan sebanyak RM379.208 juta mengikut Seksyen 116 Akta Syarikat 2016, dan resolusi pindaan yang perlu kepada Perlembagaan Syarikat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, langkah tersebut memudahkan usaha penerbitan Saham Keutamaan Tidak Boleh Ditebus (RPS) yang berkaitan dengan isu pemerolehan untuk dilaksanakan oleh Magma Kiara, iaitu subsidiari di bawah Magma Property Sdn Bhd.
Urus niaga berkenaan dipenuhi melalui pembayaran tunai sebanyak RM8 juta, selain penerbitan 120 juta saham biasa baharu dalam Magma pada harga terbitan RM0.2024 sesaham, dan terbitan sejumlah 47.712 juta RPS pada harga RM1.00 setiap satu.
"Sebanyak 120 juta saham biasa telah berjaya disenaraikan dan disebut harga di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 23 April 2025, yang menandakan penyempurnaan rasmi pengambilalihan tanah itu," katanya.
Artikel berkaitan: Legenda badminton Malaysia, Lee Chong Wei muncul antara pemegang saham besar Magma
Hasil terbitan saham pertimbangan, kumpulan itu melihat perubahan ketara ekuiti apabila Skyload Express Sdn Bhd muncul sebagai pemegang saham langsung terbesar dengan 120 juta saham biasa atau 7.697 peratus daripada modal terbitan Magma.
Selain itu, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di samping Empire Solaris Sdn Bhd, Lee Kim Hai, dan Datuk Sri Lee Hock Seng kini memegang kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam ekuiti Magma.
"Perubahan ini turut mencerminkan struktur pegangan saham yang dibentuk semula dan tahap keyakinan pelabur semakin meningkat terhadap hala tuju jangka panjang Magma sebagai fasa pertumbuhan baharu telah bermula," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Magma, Datuk Seri Thomas Liang Chee Fong berkata, penyelesaian pengambilalihan tersebut merupakan peristiwa penting yang bukan sahaja dapat mempertingkatkan perancangan pembangunan hartanah syarikat.
"Ia juga menegaskan semula kepercayaan diberikan kepada kami oleh para pemegang saham dan turut digalakkan oleh pelabur strategik baharu yang hadir sebagai sebagai komitmen konsisten terhadap Magma pada masa hadapan," kata beliau.
Menyentuh perancangan ke atas tanah tersebut, beliau berkata, pihanya berhasrat membina pembangunan komersial Magma seterusnya kerana terletak di lokasi strategik dan hanya beberapa minit dari pusat bandar Kuala Lumpur.
Kumpulan berkenaan juga katanya, kekal fokus untuk memanfaatkan kekuatan kepelbagaiannya merentas hospitaliti dan hartanah sebagai mencipta nilai jangka panjang kepada semua pemegang kepentingan. - DagangNews.com








