MAG perkukuh peranan Langkawi sebagai hab pelancongan utama dan pertumbuhan ekonomi serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAG perkukuh peranan Langkawi sebagai hab pelancongan utama dan pertumbuhan ekonomi serantau

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Datuk Haslina Abdul Hamid (dua dari kiri), Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group, Datuk Kapten Izham Ismail (tengah), dan Ketua Pegawai Komersial Syarikat Penerbangan di Malaysia Aviation Group, Dersenish Aresandiran (dua dari kanan) semasa Sidang Kemuncak Pemerkasaan Perdagangan.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 17 Jun - Malaysia Aviation Group (MAG) terus memperkukuh peranan Langkawi sebagai pintu masuk pelancongan utama negara dan peneraju pertumbuhan ekonomi serantau.

 

Ketua Pegawai Komersial MAG, Dersenish Aresandiran berkata, Malaysia Airlines berperanan menghubungkan pelbagai negara serta menjadi duta kepada segala yang membentuk identiti dan kebanggaan Malaysia.

 

"Malaysia bukan sekadar sebuah destinasi, sebaliknya mencerminkan warisan budaya yang kaya, layanan yang mesra, dan potensi untuk menyerlah bertaraf dunia," katanya dalam satu kenyataan.

 

mag

 

Dengan 56 penerbangan mingguan ke destinasi domestik dan antarabangsa, MAG terus mengukuhkan kedudukan strategik Langkawi sebagai hab pelancongan dan pemacu pertumbuhan ekonomi serantau.

 

Malaysia Airlines turut bekerjasama dengan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) serta Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi menganjurkan edisi kedua Sidang Kemuncak Pemerkasaan Perdagangan (TES), acara utama tahunan syarikat.

 

Langkawi tersenarai antara destinasi pelancongan awal dan terkemuka Malaysia Airlines, terus menjadi tumpuan utama dalam perancangan strategik syarikat penerbangan itu.

 

mag

 

TES 2025 menghimpunkan lebih 300 delegasi terdiri daripada wakil syarikat penerbangan, rakan dagang, dan pemegang taruh dari 68 bandar antarabangsa, sekali gus mewujudkan platform berimpak tinggi bagi kerjasama dan dialog strategik.

 

Menurut Dersenish, penganjuran Sidang Kemuncak Pemerkasaan Perdagangan (TES) di Langkawi mencerminkan komitmen jangka panjang MAG untuk memperkukuh hab pelancongan utama negara selari dengan aspirasi nasional.

 

"Melalui inisiatif seperti Bonus Side Trip serta pelaburan berterusan dalam kesalinghubungan, inovasi produk, platform digital, dan pengalaman pelanggan, kami memperkukuh asas syarikat bagi meletakkan syarikat sebagai pilihan utama di rantau ini," katanya.

 

TES 2025 turut menjadi penanda aras penting dalam perjalanan Malaysia Airlines menuju Tahun Melawat Malaysia 2026, di mana syarikat itu akan terus memainkan peranan utama mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.- DagangNews.com