KUALA LUMPUR 3 Dis – Sektor amanah pelaburan hartanah (M-REIT) dijangka berdepan tekanan besar sekiranya kerajaan tidak memperbaharui konsesi cukai pegangan (WHT) yang bakal tamat pada Tahun Taksiran (YA) 2025, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Menurut firma penyelidikan itu, konsesi yang selama ini menjadi pemangkin utama minat pelabur dijadual berakhir pada 31 Disember 2025, dan ketiadaan pengumuman rasmi setakat ini menimbulkan kebimbangan dalam industri.
"Ketidaktentuan dasar ini berlaku pada saat sektor M-REIT sedang mengekalkan momentum pemulihan hasil, disokong oleh dividen menarik sekitar 5.7%.
"Namun, risiko perubahan struktur cukai berpotensi mengehadkan aliran pelaburan baharu dan menjejaskan penilaian sektor, katanya dalam nota penyelidikan hari inii.
Hasil bersih pelabur dijangka susut hingga 100 mata asas
Menurut Maybank, sekiranya konsesi WHT tidak disambung, pengagihan dividen REIT akan kembali ditaksir berdasarkan kadar cukai marginal pelabur.
Situasi ini dijangka menurunkan hasil bersih sebanyak 50 hingga 100 mata asas, bergantung kepada kategori pelabur masing-masing.
"Penurunan hasil selepas cukai boleh mengurangkan daya tarikan M-REIT, terutama bagi pelabur yang menjadikan dividen sebagai sumber pendapatan utama," katanya.
Aliran keluar pelabur asing dijangka meningkat
Pelabur asing yang kini dikenakan kadar rata 10% bakal berdepan kenaikan cukai ketara jika kadar kembali ke struktur asal.
Ini boleh mencetuskan aliran keluar modal asing, sekali gus menjejaskan kecairan pasaran M-REIT yang selama ini bergantung sebahagiannya kepada minat pelabur antarabangsa.
“Malaysia berisiko kehilangan daya saing berbanding pasaran REIT lain di rantau ini,” kata Maybank IB.
Pelabur institusi dan runcit turut terkesan
Kumpulan pelabur institusi serta runcit yang bergantung kepada pendapatan dividen turut dijangka menerima pulangan bersih lebih rendah. Ini berpotensi mengubah strategi pelaburan jangka panjang mereka, terutama dana yang memberi tumpuan kepada instrumen berpendapatan tetap.
Malaysia boleh hilang kelebihan dalam pasaran serantau
Jika konsesi ini tidak dilanjutkan, Malaysia dikhuatiri kehilangan kelebihan cukai yang selama ini menjadi faktor penarik pelabur berbanding Singapura dan Thailand, yang menawarkan struktur REIT lebih mesra pelabur.
Jangkaan
Maybank tetap berpendapat konsesi 10% berkemungkinan besar akan diteruskan bagi YA 2026, sejajar dengan amalan kerajaan sejak beberapa tahun lalu.
Namun, kejelasan dasar diperlukan sebelum hujung tahun agar pelabur dapat merancang strategi cukai dan portfolio dengan baik.
Persatuan Pengurus REIT Malaysia (MRMA) dijangka mengemukakan perkara ini kepada Kementerian Kewangan, terutama setelah Rang Undang-Undang Kewangan terbaharu tidak menyentuh mengenai lanjutan konsesi tersebut.
"Sektor M-REIT kini menunggu keputusan dasar yang akan menentukan kedudukan daya tarikannya dalam tahun mendatang," kata firma itu. - DagangNews.com








