Luxchem beli 3 lot tanah perindustrian di Bandar Bukit Raja, Klang bernilai RM40.55 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Luxchem beli 3 lot tanah perindustrian di Bandar Bukit Raja, Klang bernilai RM40.55 juta

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Sept - Anak syarikat milik 55% Luxchem Corporation Berhad, Lexis Chemical Sdn. Bhd. menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Sime Darby Property (Bukit Raja) Sdn. Bhd. untuk pengambilalihan tiga lot tanah perindustrian pegangan bebas di Taman Perindustrian Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor.

 

Nilai transaksi itu adalah sebanyak RM40,552,664 secara tunai, menandakan langkah strategik Luxchem untuk mempelbagaikan aset dan mengoptimumkan penggunaan modal, kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Menurut terma SPA, tanah tersebut diambil secara “as is where is” dan diserahkan dalam keadaan kosong, tertakluk kepada beberapa syarat termasuk sekatan hak milik, hak caveat persendirian, dan pematuhan terhadap peraturan pihak berkuasa tempatan.

 

Lexis Chemical akan membangunkan premis sendiri di atas tanah yang diperoleh dalam tempoh lima tahun dari tarikh penyerahan kosong, dengan pilihan lanjutan tertakluk kepada budi bicara Sime Darby.

 

Lembaga Pengarah Luxchem menyatakan, pengambilalihan tersebut sejajar dengan strategi pengoptimuman modal dan pendekatan pengurusan tunai yang berhemah.

 

Daripada mengekalkan lebihan tunai dalam deposit tetap berpulangan rendah, Luxchem merancang untuk melabur dalam aset hartanah yang berpotensi tinggi, dengan tujuan menjana pulangan lebih baik melalui pembangunan masa depan dan kemungkinan penjualan hartanah.

 

“Lembaga Pengarah kekal optimis terhadap prospek dan potensi pembangunan tanah tersebut pada masa hadapan,” kata Luxchem, sambil menambah, pihaknya akan meneliti pelan pembangunan dengan teliti bagi memaksimumkan keuntungan.

 

Taman Perindustrian Bandar Bukit Raja merupakan hab perindustrian yang mapan, terletak secara strategik di Klang dengan akses dan infrastruktur yang baik bagi menyokong pelbagai aktiviti perindustrian dan komersial.

 

Pengambilalihan ini dijangka mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang Luxchem sambil mencipta nilai tambahan untuk para pemegang saham. - DagangNews.com