Lima tanda syarikat berdepan tekanan kewangan dan perlu perhatian segera - BDO Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lima tanda syarikat berdepan tekanan kewangan dan perlu perhatian segera - BDO Malaysia

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Mei - Kesukaran kewangan sesebuah syarikat lazimnya tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya berkembang secara beransur-ansur sebelum akhirnya memberi kesan besar terhadap operasi dan kelangsungan perniagaan, menurut firma perunding perniagaan, BDO Malaysia.

 

Pengarah Eksekutif BDO Malaysia, Bernard Tan  berkata, banyak organisasi sering menganggap masalah kewangan yang timbul sebagai cabaran operasi biasa sehingga menyebabkan petunjuk awal kesukaran kewangan terlepas pandang.

 

"Apabila tekanan kewangan menjadi semakin serius dan tidak lagi dapat dielakkan, pilihan strategik yang boleh diambil syarikat biasanya semakin terhad.

 

“Pengenalpastian awal terhadap tanda-tanda tekanan kewangan amat penting kerana ia memberi lebih banyak pilihan kepada pengurusan untuk menstabilkan operasi, melaksanakan penstrukturan semula dan memelihara nilai syarikat,” katanya.

 

 

 

 

 

 

Kemerosotan Keuntungan

Menurut Bernard, antara petunjuk awal yang perlu diberi perhatian ialah kemerosotan keuntungan secara berterusan termasuk penyusutan margin keuntungan, peningkatan kos operasi dan tekanan terhadap pendapatan asas syarikat.

 

Beliau turut mengingatkan pertumbuhan hasil tidak semestinya mencerminkan kesihatan kewangan yang kukuh kerana sesetengah syarikat masih boleh mencatat peningkatan jualan walaupun mengalami aliran keluar tunai yang semakin besar.

 

"Jika isu tersebut tidak ditangani lebih awal, kemerosotan keuntungan akan terus meningkatkan tekanan terhadap kecairan kewangan syarikat," katanya.

 

Tekanan Modal Kerja

Bernard berkata, dua petunjuk utama amat relevan menunjukkan wujud tekanan dalam modal kerja ialah peningkatan tempoh kutipan hutang pelanggan yang menyebabkan aliran masuk tunai menjadi lebih perlahan dan melemahkan kitaran penukaran tunai syarikat. 

 

Kedua ialah lanjutan tempoh pembayaran kepada pemiutang melebihi syarat kredit pembekal yang telah dipersetujui.

 

“Jurang yang semakin besar antara aliran penerimaan dan pembayaran boleh memberi tekanan kepada operasi syarikat walaupun perniagaan masih mencatat keuntungan,” katanya.

 

Pengurusan Tunai

Dalam pada itu, pengurusan tunai yang lemah juga boleh menyebabkan syarikat berdepan risiko kekurangan tunai walaupun kelihatan stabil dari segi kedudukan kewangan di atas kertas.

 

Antara tanda amaran yang jelas termasuk trend penurunan berterusan rizab tunai, peningkatan pergantungan kepada pembiayaan jangka pendek serta kesukaran memenuhi obligasi pembayaran tepat pada masanya.

 

Kemerosotan Tahap Kelayakan Kredit

Dalam situasi syarikat yang bergantung kepada pembiayaan luaran, akses kepada dana bukan sahaja menjadi pemudah cara operasi yang penting malah turut mencerminkan tahap kesihatan kewangan sesebuah organisasi.

 

Antara tanda awal kemerosotan kredit atau tahap hutang berlebihan termasuk syarat pinjaman yang semakin ketat, peningkatan kos pembiayaan hutang, permintaan cagaran tambahan serta pengurangan akses kepada pembiayaan baharu. 

 

Kebimbangan Audit

Selain faktor kewangan dalaman, kebimbangan audit seperti kelewatan penyediaan penyata kewangan beraudit, pendapat audit diubah suai atau risiko diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 juga perlu diberi perhatian serius.

 

Bagi syarikat tersenarai pula, prestasi harga saham yang lemah secara berterusan sering mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap prospek kewangan dan hala tuju syarikat.

 

 

 

 

 

 

Menurut Bernard, kewujudan beberapa petunjuk secara serentak merupakan isyarat jelas bahawa pihak pengurusan perlu bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan sukar dipulihkan.

 

“Mengambil tindakan lebih awal membolehkan syarikat mengekalkan fleksibiliti strategik selain melindungi kepentingan semua pihak berkepentingan,” katanya. - DagangNews.com