KUALA LUMPUR 30 Jan — Sebanyak lima set tren Projek LRT Laluan Shah Alam (LRT3) telah berjaya melengkapkan Ujian Pergerakan Tanpa Gagal (Fault-Free Run, FFR) setakat 30 Januari 2026, menandakan kemajuan penting ke arah kesiapsiagaan operasi laluan berkenaan.
Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan berkata, kelima-lima set tren tersebut adalah daripada Kumpulan 1 dan telah melepasi ujian FFR dengan prestasi operasi yang stabil serta konsisten.
Menurut kenyataan itu, satu lagi set tren daripada kumpulan yang sama kini berada pada peringkat akhir pengujian dan dijangka melengkapkan ujian FFR lewat hari ini.
Pada masa sama, lapan set tren dalam Kumpulan 2 turut berada di fasa akhir pengujian dan dijangka diselesaikan secara berperingkat menjelang 2 Februari 2026.
Selepas proses pengujian bagi Kumpulan 1 dan Kumpulan 2 selesai, kontraktor akan diberikan tempoh tujuh hari untuk mengemas kini serta menambah baik perisian dan sistem operasi.
Seterusnya, ujian FFR bagi Kumpulan 3 yang melibatkan baki lapan set tren akan diteruskan dan dijangka siap pada 28 Februari 2026.
Ujian FFR merupakan ujian integrasi menyeluruh yang merangkumi sistem isyarat, komunikasi, set tren atau Light Rail Vehicle (LRV) serta sistem kawalan operasi.
Selepas itu, kesemua 22 set tren akan melalui Pemeriksaan Cermat Akhir (PCA) bagi memastikan kesiapan kereta api mematuhi Skim Kereta Api serta dokumen Cadangan Teknikal, sebagai prasyarat utama sebelum permohonan Lesen Pengendali Rel dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Fasa seterusnya akan melibatkan ujian operasi percubaan oleh operator, Rapid Rail Sdn Bhd, sebelum Laluan LRT3 bersedia untuk memasuki fasa operasi sepenuhnya.
Dalam taklimat yang sama, pihak kontraktor turut memaklumkan Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance, CCC) telah berjaya diperoleh sepenuhnya pada hujung Disember 2025.
Selain itu, Pemeriksaan Cermat Akhir oleh APAD juga telah diselesaikan di 51 daripada 52 lokasi, dengan baki satu lokasi melibatkan struktur Guideway. - DagangNews.com








