KUALA LUMPUR 6 Mei — LFE Corporation Berhad menerusi syarikat usaha samanya, R&L Engineering Sdn Bhd menerima kontrak berjumlah RM50.57 juta bagi kerja-kerja utiliti di sebuah pusat data skala besar di Elmina Business Park 1A, Selangor.
Kontrak berkenaan diserahkan oleh Gamuda Engineering Sdn Bhd menerusi surat penganugerahan tender yang bertarikh 21 April 2025 dengan ia dilantik sebagai subkontraktor untuk tempoh kerja selama 11 bulan bermula pada 1 Julai 2025.
R&L Engineering merupakan usaha sama antara anak syarikat LFE iaitu LFE Engineering Sdn Bhd dan RYB Engineering Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura dengan mereka akan terlibat dalam pembangunan kerja-kerja Pakej Elektrik 4.
"Ia meliputi ujian dan pentauliahan pemasangan elektrik di kawasan sokongan kemudahan serta dewan pusat data termasuk saluran voltan rendah (LV), panel LV, kabel LV dan panel kawalan lampu," kata LFE dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Syarikat berkenaan tidak menjangkakan sebarang risiko material yang timbul daripada kontrak selain risiko operasi biasa berkaitan dengan kontrak dengan ia akan mengambil langkah sewajarnya untuk meminimumkan perkara tersebut.
"Kontrak ini turut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Kumpulan LFE untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 tertakluk sehingga tamatnya kontrak," kata syarikat tersebut.
Selain itu, LFE memaklumkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak diterima tersebut.
Kontrak yang dimeterai ini juga katanya, hanya dalam urusan biasa perniagaan LFE dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham syarikat atau daripada mana-mana pihak berkuasa kawal selia. - DagangNews.com








