Levi 1.5% SC hanya libatkan hasil kasar aktiviti pasaran modal terkawal – MoF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Levi 1.5% SC hanya libatkan hasil kasar aktiviti pasaran modal terkawal – MoF

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Feb — Levi baharu berasaskan hasil sebanyak 1.5% yang dikenakan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ke atas broker, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, hanya terpakai kepada hasil kasar daripada aktiviti pasaran modal yang dikawal selia dan tidak melibatkan operasi perniagaan lain atau pendapatan di peringkat kumpulan.

 

Perkara itu dijelaskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis Parlimen pada Khamis, susulan kebimbangan industri terhadap pelaksanaan levi berkenaan.

 

Menurut MOF, pendekatan tersebut bertujuan memastikan yuran tahunan yang dikenakan adalah berkait secara langsung dengan aktiviti yang berada di bawah seliaan SC, selain memastikan jumlah bayaran adalah sepadan dengan skala aktiviti terkawal serta tahap usaha penyeliaan yang diperlukan.

 

MOF turut menjelaskan levi itu tidak merangkumi hasil daripada dagangan proprietari, pendapatan faedah pembiayaan margin, faedah daripada penempatan pasaran wang, serta dividen dan keuntungan daripada pelaburan proprietari, kerana ia tidak terhasil secara langsung daripada aktiviti pasaran modal yang dikawal selia.

 

“Penggunaan keuntungan sebagai asas penilaian yuran adalah tidak konsisten dan tidak boleh dipercayai memandangkan SC tetap perlu mengawal selia broker walaupun syarikat tersebut mencatatkan kerugian,” kata MOF.

 

Tambahnya, tahap keuntungan juga boleh dipengaruhi oleh perbezaan model perniagaan serta pengagihan kos dalaman, khususnya dalam kumpulan kewangan yang mempunyai struktur operasi merentas beberapa entiti.

 

MOF menegaskan model yuran tahunan berubah-ubah berdasarkan hasil bukan sesuatu yang unik di Malaysia, sebaliknya diamalkan di banyak bidang kuasa lain bagi memastikan pembiayaan operasi kawal selia yang stabil dan mampan, tanpa mengambil kira sama ada entiti mencatatkan keuntungan atau kerugian.

 

Bagi meredakan kebimbangan pemain industri, MOF memaklumkan bahawa SC telah memperkenalkan tempoh peralihan selama tiga tahun dari 2026 hingga 2028, dengan pengurangan sebanyak 50% ke atas levi tahunan berubah-ubah tersebut.

 

Selain itu, pengurangan sebanyak 20% turut diberikan bagi yuran transaksi tertentu, khususnya yang melibatkan produk pasaran modal dan aktiviti pengumpulan dana. - DagangNews.com