KUALA LUMPUR 2 Mac - Lynas Rare Earths Ltd memberitahu lesen operasinya di Malaysia telah diperbaharui oleh kerajaan untuk tempoh 10 tahun lagi.
Syarikat dari Australia itu yang mengendalikan kemudahan pemprosesan nadir bumi terbesar di luar China, menerima surat daripada Jabatan Tenaga Atom Malaysia mengenai pembaharuan tersebut yang akan bermula pada 3 Mac.
Mengulas mengenai pembaharuan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Rare Earths, Amanda Lacaze, mengalu-alukan lanjutan tempoh lesen berkenaan serta merakamkan penghargaan kepada kerajaan.
“Lynas mengalu-alukan tempoh lesen yang lebih panjang ini, yang memberikan kepastian pelaburan yang lebih besar kepada Lynas serta rakan rantaian bekalan dan pelanggan nadir bumi kami.
“Bagi pihak semua pekerja Lynas, kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas perhatian terhadap perkara ini dan sokongan terhadap industri nadir bumi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Pembaharuan itu dibuat ketika Lynas merancang untuk membina sebuah kemudahan baharu pengasingan nadir bumi bernilai RM500 juta di Malaysia susulan permintaan yang kukuh.
Nadir bumi kini menjadi tumpuan apabila China, yang sekian lama mendominasi bekalan bahan kritikal tersebut, mengetatkan kawalannya di tengah ketegangan perdagangan global.
Tapak Lynas di Malaysia kini merupakan satu-satunya pengeluar komersial bukan China bagi bahan yang digunakan secara meluas dalam kenderaan elektrik dan teknologi canggih seperti peluru berpandu berpandu.
Malaysia pula melarang eksport nadir bumi mentah dan hanya membenarkan produk diproses bernilai tambah untuk dihantar ke luar negara.
Malaysia dianggarkan mempunyai sekitar 16 juta tan deposit nadir bumi, satu jumlah yang signifikan berbanding penggunaan tahunan global kira-kira 200,000 tan. - DagangNews.com








