LCS sekali lagi berdepan kelewatan, kapal pertama ditauliah empat bulan daripada jadual asal, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LCS sekali lagi berdepan kelewatan, kapal pertama ditauliah empat bulan daripada jadual asal, Parlimen diberitahu

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Jan - Projek kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) yang menjadi perhatian umum sekali lagi berdepan kelewatan, apabila pentauliahan kapal pertama kini lewat daripada jadual asal, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

 

Beliau berkata,  jadual pentauliahan LCS Kapal 1 telah disemak semula kepada Disember, iaitu lewat empat bulan daripada perancangan asal.

 

Menurutnya, laporan daripada Lumut Naval Shipyard (Lunas), menunjukkan kemajuan keseluruhan projek LCS setakat ini hanya mencapai 75.75%, sedangkan kadar siap sepatutnya berada pada 81.57% ketika ini.

 

 

 

 

 

 

Tambahnya, kemajuan bagi kapal pertama pula hanya berada pada 82.90% berbanding sasaran 96.52%. 

 

“Kemajuan ini merangkumi pembinaan struktur kapal, pemasangan peralatan utama serta integrasi sistem kapal.

 

“Walaupun terdapat kelewatan berbanding jadual asal, kementerian telah dimaklumkan oleh Lunas bahawa LCS Kapal 1 telah berjaya dilancarkan dan kini berada dalam fasa pemasangan serta integrasi sistem utamanya.

 

“Fasa ujian laut bagi LCS Kapal 1 di limbungan kapal telah bermula pada 20 Januari, diikuti dengan ujian pelayaran laut pertama pada hari ini.

 

“Fasa ini melibatkan pengujian jentera, sistem kuasa, sistem penyaman udara dan sistem pendorongan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah), yang bertanyakan mengenai status ujian laut bagi LCS Kapal 1, KD Maharajalela, serta sama ada kapal itu boleh ditauliahkan mengikut jadual pada Ogos.

 

Menurut Khaled, proses awal ini bertujuan memastikan LCS Kapal 1 berupaya belayar di laut, sementara persediaan platform dan peralatan sedang giat dijalankan bagi membolehkan ujian laut penuh bermula pada awal April.

 

Mengenai LCS Kapal 2, Khaled berkata, kapal tersebut dijadualkan semula untuk ditauliahkan pada Ogos tahun hadapan, manakala LCS Kapal 3 kekal mengikut jadual untuk Disember tahun hadapan.

 

Bagi LCS Kapal 4, pentauliahan dijangka pada Ogos 2028, manakala LCS Kapal 5 pada April 2029.

 

Menurut beliau, sejumlah RM8.3 bilion daripada nilai kontrak RM11.2 bilion telah dibelanjakan setakat ini.

 

“Bagi memastikan ketelusan berterusan dan pemantauan kawal selia, kementerian telah menubuhkan beberapa platform pemantauan, termasuk semakan pengurusan projek, jawatankuasa pemantauan projek serta jawatankuasa teknikal yang bermesyuarat secara berkala, dengan penglibatan penuh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pengguna akhir, serta Lunas,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Enam buah kapal LCS di bawah projek bernilai berbilion ringgit yang ditandatangani pada 2014 sepatutnya diserahkan secara berperingkat bermula 2019, namun tiada satu pun disiapkan mengikut jadual.,

 

Kelewatan berterusan ini telah menyebabkan kos pembinaan LCS meningkat daripada RM9.128 bilion kepada RM11.22 bilion- DagangNews.com