Latihan ketenteraan boleh diadakan tanpa perkenan diraja - MINDEF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Latihan ketenteraan boleh diadakan tanpa perkenan diraja - MINDEF

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Julai - Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjelaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai kuasa untuk melaksanakan latihan ketenteraan di mana-mana negeri tanpa perlu mendapatkan perkenan diraja, selaras dengan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendirian itu bertepatan dengan hujah yang dibangkitkan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, ketika sesi Dewan Rakyat hari ini.

 

Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan telah memperincikan dengan jelas pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, termasuk berkaitan pelaksanaan latihan ketenteraan.

 

"Alangkah baiknya jika semua Ahli Parlimen berhujah seperti Ahli Parlimen Tanah Merah kerana ia akan memudahkan tugas saya. Dalam soalannya sendiri beliau menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan memperincikan bidang kuasa Persekutuan dan negeri.

 

"Beliau juga berpandangan isu ini perlu ditangani dengan berhemah dan penuh kebijaksanaan supaya tidak menjadi satu duluan. Kami bersetuju dengan semua pandangan itu," katanya.

 

Isu itu timbul susulan kenyataan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada Mei lalu yang menegaskan bahawa ATM perlu mendapatkan perkenan Sultan Pahang sebelum menjalankan sebarang latihan atau operasi ketenteraan di negeri itu.

 

Kenyataan yang dikeluarkan menerusi Istana Abdulaziz itu dibuat susulan kebimbangan terhadap cadangan latihan ketenteraan berhampiran kawasan pulau di Pahang yang dikhuatiri boleh menjejaskan alam sekitar.

 

Mengulas perkara itu, Khaled berkata, kementerian turut bersetuju bahawa sebarang latihan ketenteraan tidak boleh dilaksanakan sehingga mengorbankan aspek pemeliharaan alam sekitar.

 

Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan sama ada latihan yang telah dijalankan sebelum ini memberi kesan kepada ekosistem di kawasan terbabit.

 

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa membangkitkan aduan penduduk yang mendakwa latihan ketenteraan telah menyebabkan kerosakan terhadap dusun dan ladang mereka.

 

Khaled berkata, beliau belum menerima sebarang aduan rasmi daripada penduduk berhubung dakwaan tersebut, namun memberi jaminan bahawa kementerian akan menjalankan siasatan sekiranya laporan rasmi dikemukakan.

 

"Ini kali pertama saya mendengar aduan bahawa latihan ketenteraan mengakibatkan kerosakan harta benda. Namun, sekiranya aduan itu disampaikan secara rasmi, kami akan menyiasatnya," katanya. - DagangNews.com