Langkah Trump semak semula eksport cip AI bantu sektor semikonduktor - Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Langkah Trump semak semula eksport cip AI bantu sektor semikonduktor - Kenanga

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Mei — Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahu membatalkan sekatan dan menyemak semula pengeksportan cip kecerdasan buatan (AI) dilihat membantu sektor semikonduktor, kata Kenanga.


Firma penyelidikan tersebut berkata, perubahan langkah berkenaan memanfaatkan pembuat produk itu yang dikenakan ketika era bekas Presiden Joe Biden dan menandakan peralihan positif dalam pasaran semikonduktor global sendiri.


Ia dijangka mampu meningkatkan lagi sentimen bagi firma cip AI global seperti Nvidia Corp dan Advanced Micro Devices Inc serta dilihat sebagai pemangkin untuk tempoh jangka pendek kepada Nationgate Holdings Berhad.


Syarikat tempatan tersebut kata Kenanga, telah menyaksikan penurunan harga sahamnya sebanyak 43 peratus sejak peraturan ketat penyebaran AI diumumkan oleh presiden AS terdahulu itu sebelum berundur pada Januari 2025.


“Walaupun pembalikan dasar masih belum lagi dimuktamadkan, aliran berita ini dijangka menggalakkan sentimen merentasi ruang semikonduktor global, terutama para pembuat cip AI antarabangsa," katanya dalam satu nota kajian.


Sekiranya sekatan itu dapat dilonggarkan atau disemak semula, firma tersebut berkata, Nationgate bakal mendapat manfaat daripada keterlihatan yang lebih baik dan menuntut pemulihan dalam pemasangan modul berkaitan AI.


Selain itu, Kenanga juga tidak menolak kemungkinan boleh berlaku pula pelaksanaan perjanjian berbentuk antara kerajaan-ke-kerajaan di bawah peraturan penyebaran AI yang disemak semula kerajaan AS selepas ini.


Pentadbiran Trump katanya, telah merancang untuk membatalkan dan melakukan semakan semula sekatan eksport era Biden ke atas cip AI canggih, seperti yang disahkan jurucakap Jabatan Perdagangan AS di Washington pada Rabu.


Peraturan sedia ada, bertujuan untuk menyekat akses China kepada kuasa pengkomputeran AI mewah, yang telah membahagikan dunia kepada peringkat strategik bagi mengekalkan kelebihan teknologi untuk AS dan sekutunya.


Dalam perkembangan berkaitan, Trump turut dijangka mengumumkan keputusan melonggarkan sekatan eksport cip AI kepada negara-negara Teluk terpilih semasa lawatannya ke rantau Asia Barat dari 13 hingga 16 Mei 2025.


Ini terutamanya, Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menurut media antarabangsa ketika ini di bawah Tahap 2 rangka kerja penyebaran AI oleh AS, apabila menghadapi had ke atas import pemproses termaju.


Kenanga mengekalkan pandangan "neutral" untuk sektor teknologi dengan Kelington Group Berhad sebagai pilihan utama berikutan syarikat itu disokong keterlihatan pendapatan yang teguh dan didorong tempahan teguh buku tendernya.


Firma itu berkata walaupun beberapa saranan "outperform" masih di bawah liputannya, ketidaktentuan jangka pendek berpunca daripada ancaman tarif Trump dan gangguan rantaian bekalan telah mengekalkan saham ini dalam julat dagangan tidak menentu.


“Justeru, kami mengesyorkan pelabur yang agresif untuk menggunakan pendekatan yang lebih berorientasikan dagangan di tengah-tengah ketidaktentuan semasa,” tambahnya. - DagangNews.com