KUALA LUMPUR 22 Mei — Keputusan Telekom Malaysia Berhad (TM) memperkenalkan dividen suku tahunan pertama dalam sejarahnya, dilihat memberi petanda keyakinan kepada pelabur, kata penganalisis.
Dengan kadar pembayaran sehingga 78% daripada keuntungan bersih, langkah itu menjadi tumpuan utama pelabur, meskipun masih lagi berdepan ketidakpastian berkaitan isu Digital Nasional Berhad (DNB).
Antaranya, RHB Research yang turut optimis serta terus mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM9.30 sesaham, dan mewakili potensi kenaikan sekitar 27% daripada harga semasa.
"Keuntungan teras TM bagi 1QFY26 naik 11.7% tahun ke tahun (YoY) dan 20.1% suku ke suku (QoQ), disokong oleh kos pembiayaan rendah serta perbelanjaan operasi yang lebih terkawal," katanya.
Prestasi suku pertama tersebut jelas firma itu memenuhi 25% daripada unjuran keuntungan tahunan, selari dengan jangkaan pasaran, dan ia turut menilai mengenai isu dividen interim pertama 6.5 sen.
RHB Research menyifatkan pengumuman tersebut sebagai perkembangan positif mencerminkan komitmen syarikat itu terhadap dasar dividen baharu dengan pembayaran minimum 75% daripada keuntungan.
Menurutnya, pertumbuhan masa depan TM akan terus dipacu oleh pengembangan kapasiti pusat data (DC) yang kini sudah mencecah sekitar 40MW, selain pelancaran DC TM-Nxera menjelang separuh kedua 2026.
"Lebih 60% daripada kapasiti fasa pertama DC itu yang berjumlah 64MW, telah ditempah pelanggan, namun penyelesaian kes pertikaian dengan DNB berpotensi menimbulkan penalti tertentu," jelasnya.
Naik Taraf Kepada ‘Beli’, Dividen Lebih 5% Jadi Tarikan
MBSB Research dalam analisisnya pula menaik taraf penarafan saham TM kepada 'beli' daripada 'neutral' sebelum ini dengan menaikkan TP kepada RM8.31 berbanding RM7.12 susulan prestasi 1QFY26.
Firma penyelidikan tersebut berpandangan pendapatan syarikat berkenaan kekal stabil yang merentasi semua segmen perniagaan, khususnya dalam perkhidmatan konvergens, DC dan rumusan digital.
Pertumbuhan itu jelasnya, disokong oleh peningkatan hasil sebanyak 2.9% YoY, selain beban cukai rendah, dengan langkah syarikat menukar penyedia rangkaian 5G pada masa depan dijangka positif.
"Ini membolehkan TM menikmati struktur kos 5G lebih cekap, manakala dasar dividen baharu sebagai pemangkin utama kepada minat pelabur yang berpotensi menawarkan hasil lebih 5% setahun," katanya.
Pada masa sama ujar MBSB Research, perbelanjaan modal (capex) pada suku pertama menurun 24.2% kepada RM212 juta, mencerminkan pendekatan pelaburan yang lebih berhati-hati dan berdisiplin.
Kos Luar Biasa Masih Dijangka Berlaku Sepanjang FY26
CGSI mengekalkan saranan 'tambah' dan RM9.50 sesaham, sambil menganggap keputusan 1QFY26 selaras jangkaan walaupun keuntungan teras berjumlah RM310 juta hanya 19% daripada unjuran tahunannya.
Menurut firma itu, TM merekodkan caj pelupusan nilai sebanyak RM127.3 juta berkaitan bayaran pendahuluan kepada DNB susulan rancangan untuk beralih kepada rangkaian 5G milik U Mobile.
"Kami menjangkakan prestasi keuntungan sepanjang FY2026 terus dipengaruhi beberapa peruntukan dan kos luar biasa yang tidak sekata, termasuk perbelanjaan berkaitan rasionalisasi pekerja," katanya.
Bagaimanapun, CGSI menegaskan yang pertumbuhan pendapatan kumpulan itu kekal menggalakkan apabila hasil keseluruhan meningkat 2.9% YoY, iaitu kadar pertumbuhan suku pertama terbaik sejak 2023.
Peningkatan dicatatkan TM tersebut ujarnya, dipacu oleh lonjakan 15% dalam segmen hasil lain merangkumi perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), rumusan digital pintar dan DC.
Ia turut menyambut baik pelaksanaan dividen suku tahunan kerana dilihat berpotensi meningkatkan pulangan atas ekuiti (ROE) dan memberi pulangan secara lebih konsisten kepada pemegang saham.
Dividen, DC Dan Rasionalisasi Kos Jadi Pemacu Utama
Secara keseluruhan, tiga firma itu bersetuju asas perniagaan TM semakin kukuh melalui pertumbuhan segmen DC, peningkatan perkhidmatan digital dan langkah pengoptimuman kos yang agresif.
Walaupun isu peralihan rangkaian 5G serta kemungkinan penalti berkaitan DNB masih menjadi risiko jangka pendek, penganalisis berpandangan faktor itu tidak menjejaskan prospek jangka panjang.
Dengan dasar dividen baharu yang lebih mesra pemegang saham, pertumbuhan kapasiti DC dan peningkatan kecekapan operasi, TM dilihat berada pada kedudukan yang lebih baik. - DagangNews.com








