KUALA LUMPUR 30 Mei - Langkah strategik NexG Bhd untuk mempelbagaikan sumber pendapatan selain daripada kontrak kerajaan diyakini membuka aliran hasil baharu yang lebih mampan pada masa hadapan, kata MIDF Research.
Katanya, hasil kumpulan itu akan terus meningkat pada suku-suku tahun akan datang didorong lanjutan kontrak berterusan bagi perkhidmatan sedia ada serta potensi kejayaan memperoleh projek baharu.
"Kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY26 hingga FY28 dengan harga sasarannya berdasarkan anggaran pendapatan sesaham 2025 sebanyak 3.7 sen dan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 15.6 kali.
"NexG menamatkan 4QFY25 dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM20.9 juta, berbanding kedudukan hutang bersih sebanyak RM31.2 juta pada tahun sebelumnya," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih NexG pada 4QFY25 naik 13.5% kepada RM43.8 juta dipacu kos operasi rendah
Terdahulu, untung bersih NexG pada suku keempat berakhir 31 Mac 2025 (4QFY25) naik 13.5% kepada RM43.8 juta berbanding RM38.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya dipacu oleh kos operasi lebih rendah.
Bagaimanapun, hasil kumpulan itu menyusut kepada RM103.8 juta berbanding RM115. 7 juta pada 4QFY24.
Katanya, sejumlah RM88.14 juta daripada hasil kumpulan dalam suku kewangan semasa diperoleh daripada pembekalan kad pintar, pasport dan perkhidmatan pemperibadian kad pintar yang lebih rendah berbanding RM103.65 juta yang diperoleh dalam suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata, secara keseluruhan, keuntungan bersih normal bagi FY25 meningkat kepada RM101.1 juta, disokong pertumbuhan hasil yang sederhana sebanyak 1.4% tahun ke tahun kepada RM373.5 juta, berserta penurunan 4.1% dalam perbelanjaan operasi kepada RM236.5 juta.
Katanya, ia membawa kepada peningkatan margin keuntungan dan mencerminkan kecekapan kos yang lebih baik dan disiplin operasi yang lebih kukuh.
"Penambahbaikan ini disokong oleh peningkatan rizab tunai kepada RM73.2 juta, iaitu peningkatan sebanyak 155.9% tahun ke tahun, serta pengurangan pinjaman kepada RM52.3 juta," katanya.
MIDF Research mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 58 sen sesaham.- DagangNews.com








