KUALA LUMPUR 23 Jan - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd, turut menjual sebahagian besar pegangan mereka dalam SMRT Holdings Bhd pada 19 Januari lalu, hari di mana harga saham syarikat itu jatuh sehingga 65%.
Pemfailan itu dibuat sehari selepas pendedahan menunjukkan Aberdeen Group plc telah menjual keseluruhan 30.04 juta sahamnya, mewakili 6.63% kepentingan, pada hari yang sama.
Citigroup Nominees (Tempatan) Sdn Bhd bertindak bagi pihak KWSP dan Urusharta Jamaah melaksanakan transaksi berkenaan.
"KWSP menjual 20.99 juta saham, menurunkan pegangan mereka kepada 3.15% daripada 7.76%, manakala Urusharta Jamaah menjual 35.75 juta saham, mengurangkan pemilikan kepada 1.02% daripada 8.87%," lapor The Edge.
Langkah pemegang saham ini dikaitkan dengan penurunan saranan Hong Leong Investment Bank (HLIB), yang menurunkan cadangan SMRT daripada BELI kepada JUAL selepas meramalkan kerugian pendapatan ketara daripada pelanggan utama, Tenaga Nasional Bhd (TNB).
HLIB berkata, penurunan itu berpunca daripada hilangnya pendapatan deployment sekali sahaja dari TNB, sekali gus menurunkan harga sasaran SMRT sebanyak 74% kepada 32 sen daripada RM1.24 sebelum ini.
HLIB menambah perlambatan aktiviti deployment TNB adalah dijangka, berikutan keputusan TNB untuk memperluaskan vendor SCADA, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada SMRT.
Bagaimanapun, pihak pengurusan SMRT menegaskan bahawa kontrak perkhidmatan pengurusan jangka panjang dengan TNB masih tidak terjejas dan terus menjadi penyumbang pendapatan utama.
Syarikat juga menyedari bahawa persaingan dalam perkhidmatan deployment boleh memberi tekanan kepada pendapatan baharu, bergantung kepada bilangan projek TNB yang berjaya diperoleh.
Pada hari Khamis, saham SMRT ditutup naik satu sen atau 5.26% kepada 20 sen, menilai syarikat pada RM91.53 juta, tetapi masih jatuh 62.6% sejak awal tahun. - DagangNews.com








