KUALA LUMPUR 15 Ogos - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus meningkatkan pegangan sahamnya dalam YTL Power International Bhd kepada 9.31 peratus menerusi tiga pembelian berturut-turut selama tiga hari pada awal bulan ini.
Langkah tersebut dilihat pemerhati pasaran sebagai tanda keyakinan terhadap ketahanan pendapatan dan keupayaan penciptaan nilai jangka panjang oleh syarikat utiliti dan infrastruktur negara itu.
Berdasarkan data yang difailkan di Bursa Malaysia menunjukkan aktiviti pengumpulan saham YTL Power sangat rancak sejak beberapa bulan lalu.
Bagi KWSP sendiri, agensi pengurusan dana persaraan pekerja itu telah membeli 45 juta saham pada 6 Ogos lalu, sekali gus meningkatkan pegangannya kepada 9.24 peratus.
Pembelian tersebut disusuli dengan tambahan 2.67 juta saham pada 7 Ogos dan 6.49 juta saham pada 8 Ogos, menjadikan keseluruhan pegangan KWSP meningkat kepada 9.31 peratus.
Bagi YTL Corp, KWSP kembali menjadi pemegang saham besar pada 8 Januari tahun ini dengan pegangan 5.03 peratus selepas membeli enam juta saham pada harga RM2.65 seunit. Sebelum itu, KWSP telah keluar daripada senarai pemegang saham besar pada April 2023.
Setakat 12 Ogos, pegangan KWSP dalam YTL Corp mencecah 8.09 peratus atau bersamaan 924.96 juta saham. YTL Corp memulakan tahun ini pada RM2.65 dan harga penutup dagangan hari ini kekal pada RM2.57.
Minat Institusi Kukuh Dalam YTL Power
Penganalisis berpendapat pembelian agresif KWSP terhadap saham YTL Power mencerminkan selera institusi untuk mengambil peluang semasa harga berada dalam fasa konsolidasi sambil mengukuhkan kedudukan strategik dalam kaunter tersebut.
Menurut mereka, minat berterusan KWSP adalah selari dengan kecenderungan dana itu untuk melabur dalam syarikat yang mempunyai aliran tunai stabil, profil pendapatan defensif, serta potensi dividen yang konsisten.
YTL Power memenuhi kriteria ini melalui portfolio pelbagai merangkumi penjanaan tenaga, perkhidmatan air dan pembetungan, selain pengembangan pesat perniagaan pusat data di Malaysia dan luar negara.
Prospek pertumbuhan syarikat turut didorong faktor makro seperti peralihan tenaga global, peningkatan permintaan infrastruktur serantau, serta peluang baharu dalam sektor infrastruktur digital.
Pemerhati pasaran percaya faktor-faktor ini berpotensi mengekalkan momentum pendapatan YTL Power sambil meningkatkan pulangan kepada pemegang saham.
Pemegang saham utama YTL Power ialah YTL Corp Bhd (49.1 peratus), diikuti Yeoh Tiong Lay & Sons Family Holdings Sdn Bhd (9.9 peratus) dan Cornerstone Crest Sdn Bhd (6.5 peratus).
Sejak awal tahun, saham YTL Power meningkat 17.76 peratus daripada RM3.66 pada 2 Januari kepada RM4.22 pada penutupan dagangan Khamis, naik 1.63 peratus atau tujuh sen.
Bagi pelabur, peningkatan pegangan KWSP dalam YTL Power memperkukuh sentimen pasaran bahawa kaunter ini menawarkan kombinasi unik antara hasil yang stabil, pendapatan defensif, dan pendedahan kepada sektor masa depan berpotensi tinggi. - DagangNews.com








