KWSP gesa sistem persaraan dikaji semula kerana rakyat hidup lebih lama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWSP gesa sistem persaraan dikaji semula kerana rakyat hidup lebih lama

KUALA LUMPUR 17 Jun - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyeru agar sistem persaraan negara dikaji semula supaya rakyat Malaysia bersedia dari segi kewangan dan sosial, seiring dengan pertambahan jangka hayat yang lebih panjang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, sistem persaraan sekarang dibina berdasarkan keadaan lama, iaitu ketika rakyat hidup lebih singkat dan hanya bekerja dalam satu bidang sepanjang hayat. 

 

Namun, keadaan hidup dan cara bekerja rakyat kini sudah banyak berubah.

 

"Dengan jangka hayat yang semakin panjang, kos sara hidup yang meningkat dan corak kerja yang berbeza, sistem persaraan perlu disesuaikan dengan keadaan semasa," katanya seperti laporan The Edge.

 

Beliau berkata demikian pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-12 bertemakan 'Hidup Hingga 100 Tahun: Adakah Kita Bersedia?'.

 

Menurut KWSP, jangka hayat rakyat Malaysia dijangka meningkat kepada 81 tahun menjelang 2050 berbanding 75 tahun ketika ini. 

 

Malaysia kini sudah menjadi negara tua dengan lebih 7% rakyat berumur 65 tahun ke atas dan angka berkenaan dijangka meningkat kepada 14% menjelang tahun 2044, menjadikan Malaysia sebagai masyarakat tua seperti yang ditakrifkan oleh Bank Dunia.

 

Namun, KWSP memaklumkan, lebih enam juta pencarum berumur bawah 55 tahun hanya mempunyai kurang RM10,000 dalam akaun persaraan mereka setakat September 2023. 

 

Ini menunjukkan ramai masih belum bersedia dari segi kewangan untuk persaraan.

 

Ahmad Zulqarnain berkata, pembangunan negara datang dengan tanggungjawab tambahan. 

 

"Kita bukan saja hidup lebih lama, tetapi perlu hidup dengan lebih baik dari segi kewangan dan sosial," ujarnya.

 

Beliau menjelaskan, pekerja hari ini sering bertukar kerjaya, belajar kemahiran baharu dan perlu menyesuaikan diri dengan dunia kerja yang pantas dan berasaskan teknologi digital. 

 

Oleh itu, sistem persaraan perlu lebih fleksibel, terbuka kepada semua dan seiring dengan cara hidup moden, termasuk pembelajaran sepanjang hayat.

 

Beliau turut menekankan, hampir 40% pekerja di Malaysia termasuk pekerja gig dan bekerja sendiri, tidak dilindungi dalam sistem persaraan rasmi. 

 

Katanya, ini bukan sekadar kekurangan dasar, tetapi satu risiko sosial yang serius jika tidak ditangani.

 

"Agenda perubahan KWSP memberi tumpuan kepada pemodenan sistem persaraan dan meluaskan perlindungan supaya ia sesuai dengan pelbagai jenis pekerjaan, peringkat hidup dan keperluan individu," jelasnya.

 

Tambah beliau, keselamatan persaraan bukan hanya tentang simpanan, tetapi juga melibatkan akses kepada rawatan kesihatan mampu milik, gaji yang adil dan dasar digital yang menyokong perubahan zaman. - DagangNews.com