KUALA LUMPUR 1 Mac - Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mencatatkan dividen yang kukuh dan berdaya saing, membuktikan daya tahannya serta komitmennya dalam memastikan masa depan persaraan ahli terjamin, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
"Syabas kepada KWSP! Alhamdulillah, KWSP sekali lagi berjaya mengatasi jangkaan," kata beliau mengulas pengumuman dividen 6.3% KWSP hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: KWSP umum 6.3% dividen bagi simpanan konvensional dan syariah untuk 2024
Amir Hamzah berkata, turut membanggakan adalah Simpanan Syariah berjaya mencatat prestasi yang setanding dengan Simpanan Konvensional berikutan pelaksanaan pemisahan kedua-dua dana pada Januari 2024.
Menurut beliau, peningkatan caruman sukarela juga jelas menunjukkan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi apabila mereka bersara kelak.
"Ketiga-tiga pencapaian ini, iaitu prestasi dividen, lonjakan prestasi Simpanan Syariah dan peningkatan ketara caruman sukarela, adalah petanda penting bahawa ekonomi negara semakin kukuh.
"Prestasi dividen KWSP yang cemerlang bukan sahaja memberi manfaat kepada simpanan persaraan ahli, tetapi juga kepada ekonomi negara secara keseluruhan," ujarnya lagi.

Amir Hamzah berkata, di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dasar pro-pertumbuhan Kerajaan, pelaburan dalam infrastruktur, dan langkah fiskal di bawah kerangka Ekonomi Madani memainkan peranan kritikal dalam meningkatkan keyakinan perniagaan serta menyokong sektor utama seperti pembuatan, perkhidmatan, dan teknologi.
"KWSP adalah salah satu daripada enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang mengambil bahagian dalam program GEAR-uP yang diterajui oleh Kementerian Kewangan bagi mempercepatkan penstrukturan ekonomi negara di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
"Di bawah program ini GLIC terbabit komited untuk melabur sebanyak RM120 bilion dalam pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun, serta RM440 bilion dalam pelaburan pasaran awam," jelas beliau.
Program GEAR-Up turut disertai oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). - DagangNews.com








