Kumpulan Bank Islam sasar pembiayaan mampan RM28 bilion tahun ini - CEO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kumpulan Bank Islam sasar pembiayaan mampan RM28 bilion tahun ini - CEO

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Feb - Strategi pertumbuhan perniagaan Bank Islam bagi 2025 adalah dengan memberi tumpuan kepada pengembangan segmen Pengurusan Kekayaan, Ar-Rahnu dan perkhidmatan pertukaran matawang (bureau-de-change).

 

Selain itu, strategi pertumbuhan turut meliputi usaha memperkukuh kerjasama dengan anak syarikat, khasnya BIMB Investment Management Berhad dan BIMB Securities Sdn Bhd.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed berkata, pada masa yang sama, Kumpulan akan kekal meneruskan pemerolehan aset dalam sektor hijau, mampan dan berkembang.

 

Kumpulan terus komited untuk menerapkan kemampanan dalam operasi dan mendorong perubahan bermakna sambil mengejar pertumbuhan yang mampan.

 

Fokus ini termasuk menyediakan sokongan terhadap usaha peralihan ke arah ekonomi rendah karbon, memupuk komuniti bagi tujuan rangkuman kewangan dan membangunkan amalan tadbir urus yang utuh, selaras dengan lima komitmen kemampanan kami.

 

"Bank Islam menjangkakan untuk menggerakkan RM28 bilion dalam pembiayaan mampan menjelang akhir 2025, sekali gus memacu pertumbuhan aset tanggungjawab sosial dan alam sekitar serta patuh Syariah.

 

“Kami ingin menyampaikan penghargaan Ikhlas kepada pemegang saham, rakan niaga dan pelanggan atas sokongan dan kepercayaan mereka yang telah memberikan sumbangan penting kepada satu lagi pencapaian yang baik buat Bank Islam.

 

"Sambil kami mengemudi perniagaan dalam landskap yang mencabar, Bank Islam kekal proaktif dalam mengukuhkan daya tahan dan pertumbuhan strategik kami untuk menyokong ekosistem kewangan yang lebih inklusif dan bertanggungjawab,” tambah Mohd Muazzam.

 

Beliau berkata, satu daripada keutamaan Kumpulan pada tahun 2025 adalah mempercepatkan pertumbuhan sungguhpun persekitaran pasaran global yang tidak menentu.

 

Dengan mengamalkan langkah pengurusan kos yang berdisiplin dan mengoptimumkan sumber, Kumpulan berhasrat untuk menstabilkan nisbah kos kepada pendapatannya tahun ini.

 

Beliau turut mengulas mengenai platform perbankan digital baharu, BIMB Mobile dan BIMB Web, yang diperkenalkan pada November 2024. Platform ini menawarkan pengalaman perbankan tanpa cawangan dengan kemudahan seperti fungsi dan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan.

 

"Sehingga kini, hampir 1 juta pelanggan daripada 1.9 juta pengguna aplikasi perbankan mudah alih Bank Islam telah berhijrah ke platform baharu, sekali gus menandakan langkah penting dalam perjalanan transformasi digital Kumpulan," kata beliau. - DagangNews.com