KUALA LUMPUR 18 Sept – KUB Malaysia Bhd mencadangkan penukaran nama syarikat kepada JAG Capital Bhd, tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan yang akan datang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat memberitahu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah memberikan kelulusan awal terhadap nama baharu tersebut pada 18 September 2025.
Bagi memastikan kelulusan tersebut kekal sah, KUB berkata pihaknya akan mengemukakan permohonan lanjutan tempoh tempahan nama sebelum tarikh tamat sah lakunya.
Satu pekeliling yang mengandungi butiran lengkap mengenai cadangan penukaran nama itu akan diedarkan kepada para pemegang saham dalam masa terdekat.
Resolusi berkenaan akan dikemukakan untuk diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat akan datang.
Sekiranya cadangan ini diluluskan, penukaran nama rasmi akan berkuat kuasa pada tarikh notis pendaftaran nama baharu dikeluarkan oleh SSM.
Sementara itu pemerhati industri menyifatkan langkah penukaran nama ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi penjenamaan semula KUB selepas melalui proses penstrukturan semula perniagaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pelupusan aset tidak strategik dan pemfokusan semula kepada sektor pelaburan dan kewangan.
Setakat ini, tiada perubahan lain kepada struktur pemilikan atau operasi diumumkan bersama penukaran nama ini. - DagangNews.com








