Kronologi Asia tamat kerjasama dengan Quantum, sasar pulih 26% hasil jualan melalui rakan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kronologi Asia tamat kerjasama dengan Quantum, sasar pulih 26% hasil jualan melalui rakan baharu

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Kronologi Asia Berhad mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Quantum Storage (South Asia) Pte. Ltd. (QSA), telah menamatkan kerjasama kontrak dengan Quantum Corporation.

 

Di bawah kerjasama tersebut, kumpulan syarikat QSA telah mewakili Quantum di seluruh ASEAN, Hong Kong, Taiwan, India dan Republik Rakyat China.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025, produk berjenama Quantum menyumbang kira-kira 26% daripada jumlah hasil jualan syarikat, kata Kronologi Asia dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

"Lembaga Pengarah menyedari bahawa penamatan ini mungkin memberi implikasi operasi dan kewangan dalam jangka masa terdekat.

 

"Namun, risiko keseluruhan dijangka terhad kerana syarikat akan terus memberi tumpuan kepada kepakaran teras dalam menyediakan penyelesaian Pengurusan Data Perusahaan (EDM) yang komprehensif dengan memanfaatkan kerjasama bersama pengeluar dan pembekal terkenal lain," kata syarikat itu.

 

Sebagai langkah strategik, syarikat akan memperkukuh keupayaan operasi dan menyelesaikan cabaran berkaitan masa penghantaran yang sebelum ini menjejaskan keupayaan memenuhi jangkaan pelanggan, sekali gus berpotensi mempengaruhi keyakinan terhadap penyelesaian EDM yang ditawarkan.

 

Pendekatan ini memerlukan kerjasama dengan pengeluar dan pembekal yang mempunyai strategi jangka panjang yang jelas, teknologi moden, kepimpinan mantap, serta kestabilan kewangan.

 

Selain itu, syarikat melihat keperluan untuk memperkukuh struktur sokongan serantau memandangkan kekangan kehadiran langsung di rantau ini telah menghadkan kecekapan dalam memenuhi keperluan pelanggan.

 

Oleh itu, Kronologi akan membentuk kerjasama baharu dengan pengeluar dan pembekal teknologi terkini bagi meningkatkan keupayaan jangka panjang menyokong pelanggan serantau dengan penyelesaian premium yang moden.

 

Usaha ini juga akan meningkatkan sokongan tempatan, mempercepatkan masa tindak balas, dan memberikan nilai strategik yang lebih besar kepada pelanggan.

 

Dari segi kewangan, penamatan kerjasama ini tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama, serta tidak dijangka memberi kesan material terhadap aset bersih sesaham atau nisbah hutang bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026.

 

Namun, memandangkan sumbangan produk berjenama Quantum adalah 26% daripada hasil jualan bagi tahun kewangan sebelumnya, pendapatan sesaham dijangka terjejas dalam jangka pendek sebelum manfaat daripada kerjasama teknologi baharu mula dirasai.

 

Penamatan kerjasama ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa berkaitan. Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam penamatan ini. - DagangNews.com