KPJ Selangor cipta sejarah hospital pertama di Asia Pasifik laksana pembedahan tulang belakang skru simen HOBBIT MIS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Selangor cipta sejarah hospital pertama di Asia Pasifik laksana pembedahan tulang belakang skru simen HOBBIT MIS

KPJ Selangor Specialist Hospital. - Foto ihsan KPJ Healthcare Berhad
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 22 MeiKPJ Selangor Specialist Hospital berjaya melaksanakan prosedur Pembedahan Invasif Minimum (MIS) Skru Simen HOBBIT yang pertama di Malaysia dan rantau Asia Pasifik sendiri.



Kejayaan itu bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam rawatan tulang belakang kompleks, malah memperkukuh keupayaan KPJ Health System (KPJHS) dalam menawarkan teknologi pembedahan terkini.


Menurut kenyataan KPJ Healthcare Berhad, pembedahan itu lebih tepat, dan proses pemulihan pesakit semakin cepat, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam bidang pembedahan ortopedik moden.

 

KPJ_DagangNews
[TENGAH] Dr Shaharuddin Abdul Rhani, Pakar Bedah Ortopedik (Tulang Belakang) KPJ Selangor Specialist Hospital (KPJ Selangor) dan [DUA DARI KANAN] Dr Jamal Azmi Mohamad, Pengarah Perubatan KPJ Selangor menerima Sijil Kepujian sebagai pakar bedah pertama di Asia Pasifik yang melakukan Pembedahan Skru Simen HOBBIT MIS. 


 

KPJ_DagangNews
PAKAR Bedah Ortopedik (Tulang Belakang) KPJ Selangor, Dr Shaharuddin Abdul Rhani dan Dr Jamal Azmi Mohamad melakukan Pembedahan Skru Simen HOBBIT MIS yang pertama di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.



"Prosedur ini menggunakan teknologi Skru Simen HOBBIT MIS, iaitu sistem penetapan tulang belakang generasi baharu direka untuk meningkatkan kestabilan pembedahan dalam kes-kes rumit," katanya.


Pendekatan invasif minimum ini jelasnya, membantu dalam mengurangkan kerosakan tisu, mengecilkan saiz luka pembedahan serta menyokong tempoh pemulihan yang lebih cepat selepas rawatan tersebut.


Pembedahan berkenaan diketuai oleh Pakar Bedah Ortopedik (Tulang Belakang), Dr Shaharuddin Abdul Rhani dan Dr Jamal Azmi Mohamad, bersama-sama pasukan pembedahan multidisiplin KPJ Selangor.
 

KPJ_DagangNews
CHIN KEAT CHYUAN


 

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, pencapaian itu mencerminkan perkembangan kepakaran klinikal dan komitmen berterusan yang kukuh dalam rangkaian hospital KPJ.


“Pelaksanaan prosedur ini membuktikan komitmen kami memperkasakan pembedahan invasif minimum yang menyokong ketepatan rawatan, pemulihan lebih baik dan pengalaman pesakit ditingkatkan," jelasnya.


Ujar beliau, berteraskan falsafah 'Care for Life', kumpulan itu akan terus mengintegrasikan lagi inovasi dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan bagi meningkatkan hasil rawatan semua pesakit.

 

KPJ_DagangNews
DR JAMAL AZMI MOHAMAD



Pengarah Perubatan KPJ Selangor, Dr Jamal Azmi Mohamad berkata, kejayaan itu mencerminkan tahap koordinasi dan kepakaran tinggi pasukan pelbagai disiplin dalam mengendalikan prosedur kompleks.


Beliau berkata pihaknya akan memperkukuh perkhidmatan rawatan tulang belakang melalui pendekatan berasaskan bukti klinikal, pembelajaran berterusan dan penjagaan kepada kesejahteraan pesakit.


Sementara itu, Dr Shaharuddin berkata, perkembangan teknologi pembedahan HOBBIT MIS membolehkan pakar bedah menjalankan prosedur yang lebih rumit dengan tahap ketepatan tinggi dan selamat.

 

KPJ_DagangNews
DR SHAHARUDDIN ABDUL RANI



“Pendekatan ini mengurangkan impak pembedahan ke atas pesakit, mengurangkan ketidakselesaan dan mempercepatkan proses pemulihan yang menjadi elemen penting rawatan tulang belakang," katanya.


KPJ Healthcare berkata pencapaian tersebut selaras dengan usaha berterusan kumpulan memperkukuh rawatan menerusi integrasi kepakaran multidisiplin, dan standard klinikal yang seragam.


Langkah itu turut mencerminkan aspirasi kumpulan memacu kecemerlangan klinikal dan memperluaskan akses rakyat kepada teknologi rawatan bertaraf antarabangsa di Malaysia. - DagangNews.com