KPJ Kluang cipta sejarah laksana rawatan jantung FARAPULSE pertama di selatan Semenanjung Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Kluang cipta sejarah laksana rawatan jantung FARAPULSE pertama di selatan Semenanjung Malaysia

Bangunan KPJ Kluang Specialist Hospital di Kluang, Johor. - Foto ihsan KPJ Healthcare Berhad
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 MeiKPJ Healthcare Berhad mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju penjagaan kesihatan swasta apabila KPJ Kluang Specialist Hospital di Johor melakar sejarah buat julung kali. 



Pusat perubatan tersebut berjaya melaksanakan prosedur pembedahan ablasi medan berdenyut (Pulsed Field Ablation - PFA) FARAPULSE yang pertama seumpamanya di wilayah selatan Semenanjung Malaysia.


Menurut kenyataan kumpulan berkenaan, pencapaian itu sekali gus membuka akses lebih luas kepada rawatan gangguan ritma jantung berteknologi tinggi di wilayah tersebut tanpa perlu ke ibu negara.

 

KPJ_DagangNews
PAKAR Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi di KPJ Kluang Specialist Hospital, Dr Ng Kim Fong, (berdiri, dua dari kiri), dan Pengarah Perubatan KPJ Kluang Specialist Hospital, Dr Ong Shuh Chong (berdiri, paling kiri) dengan pasukan pembedahannya.

 

"Ia turut mencatat sejarah sebagai prosedur PFA FARAPULSE pertama dalam rangkaian KPJ Healthcare yang dikendalikan oleh pakar residen dan membuktikan peningkatan keupayaan subkepakaran," katanya.


Prosedur berkenaan jelasnya, diketuai Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi, Dr Ng Kim Fong dilakukan bersama-sama dengan pasukan elektrofisiologi jantung di hospital tersebut sendiri.


Mereka merawat fibrilasi atrium dan gangguan ritma jantung menggunakan teknologi denyutan elektrik terkawal lebih tepat serta kurang invasif berbanding kaedah ablasi konvensional berasaskan haba.

 

KPJ_DagangNews
DR NG KIM FONG



KPJ Healthcare menambah, teknologi FARAPULSE turut membolehkan tisu jantung yang tidak normal dapat disasarkan secara khusus sambil mengurangkan lagi tahap kesan terhadap tisu di sekeliling.


"Pendekatan tersebut sekali gus berpotensi menawarkan tempoh prosedur dan pemulihan secara lebih singkat serta dapat mengurangkan isu risiko komplikasi kepada pesakit yang bersesuaian," ujarnya.


Dalam satu kenyataan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan kumpulan memperkukuh perkhidmatan kardiak khusus.
 

 

KPJ_DagangNews
CHIN KEAT CHYUAN



Ia turut memperluaskan akses kepada rawatan gangguan ritma jantung lanjutan di luar pusat bandar utama, dengan pengenalan prosedur FARAPULSE menunjukkan kemampuan hospital dalam rangkaiannya.


Pada masa sama jelasnya, kumpulan terus memperkukuh keupayaan subkepakaran serta mengadaptasi pendekatan rawatan lebih moden yang menyokong penjagaan tepat dan kurang invasif kepada pesakit.


“Berpandukan aspirasi Care for Life, kami komited memastikan komuniti menerima akses rawatan pakar lanjutan lebih dekat dan meningkatkan kecemerlangan klinikal di seluruh rangkaian KPJ,” katanya.

 

KPJ_DagangNews
Teknologi pulsed field ablation FARAPULSE ini menggunakan denyutan elektrik terkawal untuk menyasarkan tisu jantung yang tidak normal secara lebih tepat, sambil meminimumkan impak terhadap tisu di sekelilingnya.



Dalam perkembangan berkaitan, KPJ Kluang turut mencipta satu lagi pencapaian apabila muncul menjadi hospital swasta pertama di wilayah itu yang melaksanakan prosedur bagi rawatan jantung.


Ia menggunakan Subcutaneous Implantable Cardioverter Defibrillator (S-ICD), peranti pemantauan dan rawatan aritmia diimplan di bawah kulit tanpa elektrod dimasukkan ke jantung atau saluran darah.


Pendekatan itu ujar KPJ Healthcare, berpotensi mengurangkan risiko tertentu berkaitan prosedur bagi pesakit memerlukan perlindungan daripada gangguan ritma jantung yang boleh mengancam nyawa.


"Sebagai satu-satunya hospital swasta di Kluang yang ada Makmal Kateterisasi, KPJ Kluang setakat ini melakukan hampir 1,450 prosedur kardiak, mencerminkan kepakarannya yang berkembang," katanya.


Kemajuan itu bukan sahaja memperluaskan akses kepada rawatan jantung khusus di wilayah selatan, malah mengurangkan keperluan pesakit untuk mendapatkan rawatan lanjutan di pusat bandar utama.


Pencapaian tersebut selaras dengan usaha berterusan KPJ Healthcare mengukuh perkhidmatan melalui integrasi amalan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi di seluruh rangkaiannya. - DagangNews.com