KPJ Healthcare dijangka catat keuntungan bersih RM97 juta bagi 3Q25, momentum pertumbuhan kekal kukuh - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare dijangka catat keuntungan bersih RM97 juta bagi 3Q25, momentum pertumbuhan kekal kukuh - RHB Research

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 10 Nov – KPJ Healthcare Bhd dijangka mengekalkan prestasi kukuh pada suku ketiga tahun kewangan 2025 (3Q25), dengan keuntungan bersih teras dianggarkan sekitar RM97 juta, meningkat 22% secara sukuan (QoQ) dan 12% tahun ke tahun (YoY), menurut RHB Research.

 

Bank pelaburan itu menjangkakan keputusan kewangan suku berkenaan yang dijadual diumumkan pada 21 November ini bakal membawa jumlah keuntungan bersih teras sembilan bulan pertama 2025 (9M25) kepada RM240 juta, peningkatan sekitar 25% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Menurut laporan itu lagi, pencapaian itu dijangka sejajar dengan unjuran RHB (sekitar 73% daripada ramalan setahun penuh), namun sedikit di bawah konsensus pasaran (69%).

 

“Pertumbuhan tahunan dijangka didorong oleh peningkatan keamatan hasil dan prestasi operasi yang lebih baik daripada hospital-hospital di bawah fasa pemulihan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB, KPJ dijangka terus menikmati pertumbuhan hasil pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh kadar penggunaan katil yang lebih tinggi dan pemulihan pembedahan elektif selepas musim perayaan pada separuh pertama tahun.

 

Jumlah pesakit dijangka meningkat 2.6% YoY bagi 9M25, berbanding 2.5% pada separuh pertama tahun, sementara margin bersih dijangka terus bertambah baik hasil penambahbaikan kecekapan operasi di enam hospital yang masih dalam tempoh pelaburan awal.

 

Bagaimanapun, beberapa faktor berisiko dijangka boleh memberi tekanan kepada keuntungan 3Q25, antaranya kesan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang lebih tinggi ke atas perjanjian sewaan sejak 1 Julai, serta rundingan berterusan antara syarikat insurans dan pakar perubatan yang boleh menjejaskan campuran kes dan kadar bil.

 

Susulan semakan terhadap unjuran kos faedah dan sewaan, RHB mengekalkan saranan “BELI” ke atas saham KPJ dengan harga sasaran baharu (TP) sebanyak RM3.08, meningkat sedikit daripada RM3.05 sebelum ini — memberikan potensi kenaikan sebanyak 15% daripada paras semasa.

 

TP baharu tersebut ditentukan berasaskan penilaian DCF, bersamaan 16.8 kali EV/EBITDA bagi FY2026F, atau +2.6 sisihan piawai (SD) daripada purata sejarah lima tahun kumpulan. Penilaian itu turut mengambil kira premium ESG sebanyak 2%.

 

“Kami kekal positif terhadap KPJ memandangkan kisah pemulihan yang kukuh dan kedudukannya sebagai proksi utama kepada sektor penjagaan kesihatan swasta tempatan yang terus berkembang,” menurut laporan itu lagi. - DagangNews.com