KUALA LUMPUR 28 April — Johor Plantations Group Berhad diunjur mengalami kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang stabil pada harga RM2,100 tan metrik hingga RM2,000/Mt untuk FY25 hingga FY26, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, jangkaan itu sejajar dengan anggaran berikutan berlaku pengurangan kos baja yang kebiasaannya menyumbang 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan pengeluaran, selain semakin murah sejak beberapa bulan lalu.
Sehubungan itu katanya, margin keuntungan operasi kemungkinan boleh distabilkan melebihi 30 peratus sepanjang FY25 hingga FY27, dengan margin keuntungan bersih diunjurkan mencecah antara 24 sehingga 27 peratus dalam tempoh yang sama.
"Setakat ini, keuntungan bersih FY24 melonjak 52.2 peratus kepada RM254.8 juta, dibantu volum jualan tinggi MSM akibat keadaan cuaca menggalakkan, kos pengeluaran rendah dan kos kewangan," katanya dalam satu nota kajian.
MIDF Research berkata, pengurusan kumpulan juga optimis dengan pertumbuhan keluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak 9 peratus pada 2024, dan menjangka momentum pertumbuhan satu digit berterusan sehingga akhir 2025.
Selain itu katanya, penghantaran tinggi volum jualan hasil daripada profil umur pokok lebih baik iaitu purata 12.9 tahun setakat akhir 2024, dijangka meningkatkan lagi prospek BTS kepada sekitar sebanyak 20.8 tan meterik metrik per hektar.
Dari sudut penilaian, firma penyelidikan itu percaya, United Plantation, Hap Seng Plant, Kim Long Resources, TSH dan United Malacca adalah rakan perbandingan yang paling setara dengan Johor Plantations kerana persamaan dalam model perniagaan.
Begitu juga saiz keluasan kawasan tanaman Johor Plantations sekitar 40,000 hingga 50,000 hektar selain syarikat perladangan ini ialah pengeluar hasil MSM kedua tertinggi selepas United Plantatio bagi mengukur penunjuk prestasi penting mereka.
"Dengan mengambil kira semua faktor itu, kami percaya nisbah harga kepada pendapatan (PER) yang munasabah berdasarkan unjuran keuntungan FY25 sebanyak RM290.1 juta atau pendapatan setiap saham (EPS) sebanyak 11.6 sen," katanya
MIDF Research turut menjangkakan nilai saksama dalam julat harga sasaran antara RM1.16 dan RM1.51 sesaham berikutan ramalan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) lebih perlahan antara FY24 dan FY27. - DagangNews.com








