KUALA LUMPUR 19 Nov - Tidak dapat disangsikan lagi pematuhan terhadap standard kesejateraan iklim sememangnya melibatkan kos yang tinggi, namun kos tidak bertindak hari ini adalah jauh lebih besar kepada ekonomi dan generasi masa depan, kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Madelena Mohamed.
"Dengan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) kini semakin diintegrasikan dengan rantaian bekalan global, pematuhan terhadap piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan untuk daya saing.
"Platform kerjasama seperti JC3 memainkan peranan penting dalam membantu perniagaan, terutamanya PKS, menjadikan keperluan ini sebagai satu peluang," katanya pada Persidangan Iklim Kumpulan Fokus PKS (SFG) untuk PKS 2025 yang pertama kali diadakan, di Sasana Kijang, di sini hari ini.
Persidangan itu dianjurkan SFG di bawah Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) merupakan anjuran bersama BNM dan United Overseas Bank (UOB) Malaysia Berhad, sebagai platform nasional untuk memperkukuh kesiapsiagaan iklim dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Dengan tema “Membina Ketahanan Iklim: Tindakan Praktikal untuk PKS”, persidangan tersebut memberi penekanan terhadap keperluan mendesak bagi PKS memahami risiko berkaitan iklim serta melaksanakan tindakan penyahkarbon dan adaptasi yang lebih berkesan.
Lebih 400 peserta menghadiri persidangan ini, merangkumi usahawan, institusi kewangan, agensi kerajaan dan penyedia penyelesaian.
Madelena seterusnya berkata, institusi kewangan memainkan peranan lebih proaktif melalui penyediaan khidmat nasihat, sokongan pembangunan kapasiti dan akses pembiayaan bagi mempercepatkan tindakan iklim dalam sektor PKS.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia merangkap pengerusi bersama SFG JC3, Ng Wei Wei, berkata kolaborasi awam-swasta melalui platform seperti SFG dapat memperkukuh momentum peralihan lestari negara.
“Sebagai pengerusi bersama Kumpulan Fokus PKS JC3, kami berbangga dapat menyokong peralihan lestari Malaysia dengan menjadikan platform ini pemangkin kerjasama awam-swasta,” katanya.
Persidangan ini turut mempamerkan pelbagai alat praktikal untuk membantu PKS melaksanakan tindakan kelestarian, termasuk Portal Pemula ESG, Kemudahan Bantuan dan Adaptasi (RAFT), Katalog Data Iklim JC3, Simplified ESG Disclosure Guide (SEDG), Kalkulator Pelepasan GHG, serta Rangka Kerja Pencegahan Kerugian SME.
Selain sesi panel mengenai risiko iklim dan cabaran sektoral, sesi terperinci memberi fokus kepada kecekapan tenaga dan pensijilan hijau, manakala pameran penyelesaian hijau oleh institusi kewangan dan agensi kerajaan menyediakan akses terus kepada sokongan teknikal dan sumber tindakan iklim.
Menurut JC3, penganjuran sulung Persidangan Iklim SFG untuk PKS 2025 ini merupakan pencapaian penting dalam merealisasikan sektor PKS yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan iklim, selari dengan agenda nasional dipacu BNM. - DagangNews.com








