Kontrak jangka panjang sokong daya tahan pendapatan MISC, walaupun segmen LNG suram - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak jangka panjang sokong daya tahan pendapatan MISC, walaupun segmen LNG suram - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Feb - Kedudukan kontrak jangka panjang dan projek baharu luar pesisir dijangka menyokong daya tahan pendapatan MISC Bhd dalam tempoh sederhana hingga panjang, meskipun segmen LNG kekal mencabar, menurut penganalisis.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, prospek segmen LNG dijangka kekal lemah dalam tempoh terdekat dengan lapan kapal LNG milik MISC – kebanyakannya menggunakan turbin stim – kini tidak beroperasi berikutan kadar spot yang rendah.

 

Jsuteru menurut firma penyelidikan itu adalah lebih ekonomik untuk membiarkan kapal tersebut tidak disewakan berbanding menerima kadar sewaan yang rendah. 

 

"Keadaan lebihan bekalan kapal susulan penghantaran kapal baharu yang rancak serta kelewatan kapasiti pencairan global akibat isu geopolitik berpanjangan terus menekan kadar sewaan.

 

"Kadar sewaan kapal turbin stim dijangka kekal lembap sekurang-kurangnya sehingga 2026," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, dalam hal itu RHB Research sedikit optimis dengan menyatakan kontrak jangka panjang sedikit sebanyak membantu mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan pasaran spot.

 

Firma penyelidikan itu yakin keterlihatan pendapatan MISC terus disokong asas hasil berkontrak yang kukuh, dengan kira-kira 98% kapal LNG berada di bawah kontrak jangka panjang.

 

Sementara itu disebabkan faktor ini Maybank IB telah menyemak turun anggaran pendapatan FY26 hingga FY27 sekitar 4% setahun selepas mengambil kira sumbangan lebih rendah daripada segmen perkapalan LNG. 

 

Bagaimanapun, unjuran dividen dinaikkan kepada 38 sen bagi FY26 dan FY27 berbanding 36 sen sebelum ini, bersandarkan jangkaan syarikat mengekalkan pembayaran mutlak dividen.

 

MISC semalam mengumumkan prestasi kewangan 4QFY25, dengan mencatat keuntungan bersih teras sebanyak RM536 juta, meningkat 15% suku ke suku (QoQ) dan 3% tahun ke tahun (YoY). 

 

Prestasi itu menjadikan jumlah keuntungan teras FY25 kepada RM2.32 bilion, naik 11% YoY dan bersamaan 97% daripada unjuran firma serta 99% daripada anggaran konsensus.

 

Prestasi kukuh suku berkenaan disokong oleh permintaan tan-batu (tonne-mile) yang lebih tinggi dalam segmen kapal tangki petroleum berikutan ketegangan geopolitik dan sekatan ekonomi, selain peningkatan pengeluaran minyak mentah oleh kumpulan OPEC+.

 

Dengan prestasi itu Maybank IB mengekalkan saranan HOLD terhadap kaunter itu dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM8.44 berbanding RM8.22 sebelum ini selepas mengambil kira nilai kini bersih (NPV) bagi projek FPSO Kelidang dan FSO PNG LNG.

 

RHB Research pula mengekalkan syor BELI ke atas MISC dengan TP baharu RM9.77 berbanding RM9.70 sebelum ini, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 20% serta anggaran hasil dividen kira-kira 5% bagi FY26F.

 

Dua projek luar pesisir pacu pertumbuhan

Dalam pada itu, Maybank IB berkata, MISC dijangka memasuki kitaran perbelanjaan modal sederhana antara FY26 hingga FY28, dengan anggaran sekitar RM2 bilion setahun, bagi menyokong dua projek pembinaan baharu luar pesisir iaitu FSO PNG LNG dan FPSO Kelidang.

 

Kedua-dua aset berkenaan dijangka mula beroperasi masing-masing pada separuh pertama 2028 dan 2029, sekali gus berpotensi meningkatkan sumbangan segmen luar pesisir serta mengukuhkan aliran tunai dan keuntungan kumpulan selepas FY28.

 

RHB Research pula berpandangan sumbangan projek luar pesisir termasuk Kelidang dan Papua New Guinea dijangka lebih tertumpu pada tempoh kemudian, dengan impak pendapatan lebih bermakna berkemungkinan hanya bermula FY27 dan seterusnya. Sehubungan itu, unjuran pendapatan dikekalkan tanpa perubahan. - DagangNews.com