KUALA LUMPUR 3 Sept - Cypark Resources Bhd mengumumkan konsortium yang dianggotai anak syarikat milik penuhnya, Cypark Renewable Energy Sdn Bhd (CRESB), bersama Fabulous Sunview Sdn Bhd (FSSB), anak syarikat milik penuh Sunview Group Bhd, telah memenangi proses bidaan kompetitif bagi membangunkan sebuah loji solar fotovoltaik (LSS) berskala besar baharu di Negeri Sembilan.
Konsortium itu menerima Surat Pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga bertarikh 2 September 2025 yang mengesahkan pemilihannya untuk melaksanakan projek solar PV berkapasiti 99.99MW di Port Dickson di bawah program kerajaan LSS PETRA 5+.
Menurut Cypark dalam makluman di Bursa Malaysia, Surat Pemberitahuan tersebut turut menetapkan keperluan mandatori yang perlu dipenuhi dari semasa ke semasa bagi membolehkan projek diteruskan.
Sekiranya tiada sebarang keadaan luar jangka, projek ini dijangka menyumbang secara positif dan berterusan kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya. Kos projek akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan/atau pinjaman bank.
Syarikat mengesahkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama, mahupun individu yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut.
Kemenangan ini mengukuhkan lagi peranan CRB dalam memperluas portfolio tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, sekali gus memperteguh kedudukannya dalam sektor tenaga solar yang sedang berkembang pesat di negara ini. - DagangNews.com








