KUALA LUMPUR 13 Nov - Kerajaan Persekutuan meneruskan komitmen terhadap kemajuan Sabah dengan peruntukan RM17.5 bilion bagi 2026 demi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri itu terus diperkukuh.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah perbelanjaan tersebut meliputi pemberian negeri, perbelanjaan mengurus agensi Persekutuan, subsidi bahan api serta perbelanjaan pembangunan.
"Peruntukan 2026 berjumlah RM17.5 bilion merupakan peningkatan berbanding peruntukan pada 2025 berjumlah RM17.3 bilion.
"Maklumat perbelanjaan sebenar dari tahun 2022 sehingga 2024 juga mencatatkan peningkatan iaitu RM12.9 bilion (2022), RM13.9 bilion (2023) dan RM14 bilion (2024)," kata kementerian itu dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Kementerian Kewangan, di bawah pentadbiran MADANI, projek-projek prasarana utama seperti Pan Borneo Sabah bernilai RM13.9 bilion disambung semula, di samping peningkatan kemudahan asas termasuk Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II dan Jalan baharu Kalabakan, Sabah ke Simanggaris, Indonesia.
"Selain itu, Kerajaan MADANI memperkukuh bekalan asas dengan peruntukan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan elektrik dan RM765 juta untuk Projek Talian Penghantaran Southern Link, selain pemasangan panel solar hibrid di kampung-kampung kecil Sabah," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah, dari segi bekalan air bersih, kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembiayaan RM1 bilion (2024) untuk projek air Sabah, manakala ketersambungan Internet dipertingkatkan menerusi Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI sepanjang 3,190 kilometer dengan kos RM2 bilion melibatkan laluan ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau.

Kementerian Kewangan menambah, komitmen kerajaan Madani terhadap kesejahteraan rakyat Sabah, diperkukuhkan lagi menerusi penyelesaian sembilan daripada 13 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), antaranya:
- Menyerah kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd kepada Kerajaan Sabah.
- Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah.
- Mengiktiraf Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
- Kerajaan MADANI turut serah kuasa melulus bagi perolehan Projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik Sabah sehingga RM50 juta, dan;
- Meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (1995) Akta 53 bagi melantik wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai Anggota Tetap LHDN. - DagangNews.com








