Kolej Universiti IJN, IREHAB meterai MoU lima tahun perkukuh latihan industri pelajar kesihatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kolej Universiti IJN, IREHAB meterai MoU lima tahun perkukuh latihan industri pelajar kesihatan

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 19 NovKolej Universiti IJN (IJNUC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama lima tahun dengan IREHAB Integrated Rehabilitation (M) Sdn Bhd, sekali gus membuka laluan kepada peluasan peluang latihan industri dan pekerjaan untuk pelajarnya dalam skala lebih besar.

 

IJNUC dalam kenyataan hari ini berkata , kerjasama itu dijangka memberi manfaat kepada pelajar merentasi bidang kesihatan, pemulihan, penjagaan pesakit serta peranan teknikal dan pentadbiran, menerusi pendedahan profesional secara langsung di fasiliti IREHAB.

 

Di bawah perjanjian tersebut, IREHAB akan menawarkan latihan industri kepada pelajar Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sijil dalam bidang penjagaan kesihatan, manakala pelajar dalam disiplin pengurusan, perniagaan dan teknologi maklumat turut berpeluang mengikuti latihan berkaitan pentadbiran, operasi, penyelidikan, pemasaran dan sokongan digital.

 

MoU berkenaan turut membenarkan kedua-dua pihak berkongsi kemudahan pengajaran dan pembelajaran bagi tujuan kajian, latihan dan penyelidikan, selain melaksanakan inisiatif bersama melalui platform masing-masing, tertakluk kepada kelulusan terdahulu.

 

Naib Canselor merangkap Ketua Eksekutif IJNUC, Dr Durrishah Idrus berkata, kerjasama strategik tersebut akan meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan, selaras dengan keperluan industri masa kini.

 

“Kami teruja memeterai kerjasama dengan IREHAB, peneraju dalam perkhidmatan pemulihan bersepadu. Kerjasama ini akan memberikan pelajar kami pengalaman praktikal dan pendedahan profesional yang amat berharga, memastikan mereka benar-benar bersedia memasuki alam pekerjaan,” katanya.

 

Beliau berkata lagi, kerjasama rapat bersama industri merupakan komitmen berterusan IJNUC untuk melahirkan graduan kompeten serta bersedia menyumbang secara bermakna kepada sektor penjagaan kesihatan dan bidang berkaitan.

 

IJNUC yang dinaik taraf kepada status Kolej Universiti pada 13 Mei 2025, kini menawarkan rangkaian program akademik luas merangkumi Diploma Lanjutan Kejururawatan Kardiak, Farmasi, Psikologi, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Fisioterapi, Pengurusan Penjagaan Kesihatan, Perniagaan, Pengurusan Sumber Manusia serta Perkhidmatan Perubatan Kecemasan.

 

Institusi itu berakar umbi daripada Bahagian Latihan IJN yang ditubuhkan pada 2007 bagi memperkukuh keupayaan profesional warga Institut Jantung Negara (IJN), sebelum berkembang menghasilkan program ijazah, sarjana dan doktor falsafah.

 

IJNUC berkata, pemeteraian MoU ini mencerminkan komitmen jangka panjang dalam menyediakan peluang bermakna kepada pelajar dan memastikan latihan akademik terus seiring dengan keperluan industri, khususnya dalam sektor kesihatan dan pemulihan. - DagangNews.com