KUALA LUMPUR 16 Sept - Badan masyarakat sivil menggesa kerajaan campur tangan dalam pertikaian pembangunan semula bandar yang berlaku sekarang sambil memberi amaran, golongan rentan semakin dipinggirkan dalam projek-projek yang gagal diurus di ibu kota.
Kuala Lumpur Residents Alliance Plus Sustainable Development (KLRA+SD), sebuah NGO berdaftar, berkata ketegangan yang memuncak berkaitan pembangunan semula Kampung Sungai Baru serta perbahasan mengenai Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar (RUU) telah menyerlahkan kelemahan mendalam dalam cara pembangunan semula dilaksanakan.
Sejak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan rancangan untuk menggubal Akta Pembaharuan Bandar baharu pada awal 2024, gelombang pembangunan semula mula melanda Kuala Lumpur.
Perkembangan ini dipercepatkan selepas Rancangan Struktur Kuala Lumpur 2040 mengenal pasti 139 tapak berpotensi untuk pembangunan semula.
Namun, KLRA+SD menegaskan, ketiadaan komunikasi jelas, pendidikan awam, dan langkah kawal selia yang kukuh telah mendedahkan pemilik rumah kepada pelbagai bentuk eksploitasi.
“Komuniti berpecah, gangguan dan ugutan berlaku, malah ramai penduduk dipaksa menandatangani borang persetujuan tanpa benar-benar memahami hak mereka,” kata kumpulan itu.

Kekeliruan dan Golongan Rentan Tergadai
Menurut KLRA+SD, ada penduduk yang didekati pemaju tanpa surat kebenaran rasmi. Rundingan pula sering memberi keutamaan kepada pemilik luar yang memiliki beberapa unit sewa, berbanding pemilik tunggal yang tinggal di situ — ramai antaranya pesara, warga emas atau keluarga berpendapatan rendah.
Tawaran pampasan lazimnya dibuat berdasarkan penggantian satu-ke-satu unit pada penilaian sewenang-wenangnya, malah ada yang melalui syarikat “kosong” tanpa kestabilan kewangan.
“Jika syarikat-syarikat ini gagal, penduduk mungkin kehilangan segalanya tanpa sebarang perlindungan,” amaran NGO itu.
Kumpulan itu turut mengkritik Garis Panduan Pembaharuan Bandar Kuala Lumpur 2021, yang membenarkan pengambilan paksa di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) setelah persetujuan separa dicapai – langkah yang menurut mereka boleh menjejaskan hak pemilikan hartanah yang dijamin Perlembagaan.
Kebimbangan Terhadap RUU Pembaharuan Bandar
KLRA+SD menyatakan bahawa RUU Pembaharuan Bandar berisiko menghalalkan amalan yang meragukan. Secara khusus, Fasal 17 membolehkan pemaju menentukan sama ada sesebuah bangunan dianggap gagal diurus atau mendatangkan kacau ganggu – keputusan yang menurut mereka sepatutnya dibuat oleh pihak profesional bebas, bukannya pihak yang berkepentingan.
“Ia memberikan pemaju kuasa terlalu luas untuk mempengaruhi hasil proses demi kepentingan sendiri. Perlindungan dan rangka kerja telus mesti digariskan lebih awal,” tegas NGO itu.
Desakan Moratorium dan Mediasi
Daripada tergesa-gesa meluluskan RUU, KLRA+SD menggesa kerajaan untuk:
Menguatkuasakan moratorium terhadap kelulusan pembangunan semula sehingga rangka undang-undang yang adil diwujudkan.
Menghentikan penggunaan Garis Panduan 2021 oleh DBKL dalam meluluskan projek.
Membatalkan atau mengesahkan semula borang persetujuan yang diperoleh dalam keadaan meragukan.
Menyediakan mekanisme mediasi dalam kes-kes pertikaian atau ketidakadilan yang memerlukan penyelesaian segera.
Walaupun Menteri Wilayah Persekutuan memberi amaran moratorium boleh menjejaskan ekonomi Kuala Lumpur, KLRA+SD menegaskan bahawa melindungi hak pemilik mesti menjadi keutamaan.
“Kerajaan mesti membuktikan komitmen dengan menjadi pengantara pertikaian sekarang, bukan kemudian,” katanya.
Keperluan Pendidikan Awam
KLRA+SD menekankan penyelesaian jangka panjang memerlukan kempen pendidikan awam yang lebih menyeluruh.
“Pihak berkuasa perlu menjelaskan apa itu pembangunan semula, hak pemilik dan penyewa, serta proses yang sepatutnya dilalui. Rakyat, tanpa mengira latar belakang, perlu diberi maklumat dan diberdayakan,” tambahnya.
KLRA+SD menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan persatuan penduduk, NGO, dan institusi dalam memperjuangkan Kuala Lumpur yang mampan dan boleh didiami. - DagangNews.com








