KJTS berpeluang jana hasil berulang RM2.7 juta setahun menerusi kontrak Top Glove, kata Malacca Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KJTS berpeluang jana hasil berulang RM2.7 juta setahun menerusi kontrak Top Glove, kata Malacca Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 JulaiKJTS Group Berhad berpeluang menjana hasil berulang RM2.73 juta setahun menerusi kontrak baharu anak syarikat Top Glove Corporation Berhad, menurut Malacca Securities.

 

Unjuran tersebut jelas firma berkenaan, mengukuhkan prospek pendapatan jangka panjang kumpulan itu walaupun sumbangan kepada keuntungan dalam tempoh terdekat pula dijangka masih adalah sederhana.

 

Kontrak itu diraih subsidiarinya, iHandal Green Assets Holdings memeterai perjanjian perkongsian penjimatan (SSA) selama 10 tahun dengan Flexitech Sdn Bhd untuk kilangnya di Banting, Selangor.

 

"Ia menawarkan penjimatan tenaga terjamin RM5.47 juta setahun, dengan KJTS menerima 50% daripada nilai itu, bersamaan hasil kasar berulang kira-kira RM2.73 juta setahun," kata Malacca Securities.

 

Tender tersebut ujarnya, merupakan SSA ketiga diperoleh daripada syarikat kumpulan Top Glove dalam tempoh 12 bulan selepas kejayaan mendapatkan projek serupa daripada TG Medical dan GMP Medicare.

 

Secara keseluruhan, tiga kontrak itu dijangka menyumbang bahagian penjimatan kasar berulang RM4.05 juta setahun sebelum kos, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan bagi jangka sederhana.

 

KJTS_DagangNews2026

 

Malacca Securities berpandangan kontrak terbaharu  mengukuhkan rasional strategik pengambilalihan iHandal oleh KJTS bagi memperluaskan kehadiran dalam segmen kecekapan tenaga dan pemulihan haba.

 

"Ia membuktikan rumusan 'heatfuse' semakin diterima serta meningkatkan keyakinan terhadap keupayaan iHandal mengembangkan model perniagaan perkongsian penjimatan kepada pelanggan lain," jelasnya.

 

Bagaimanapun ujarnya, sumbangan kepada keuntungan jangka pendek adalah sederhana kerana kumpulan itu perlu menanggung kos projek, pemasangan, penyelenggaraan dan pembiayaan di peringkat awal.

 

Justeru, Malacca Securities mengekalkan unjuran hasil KJTS sedia ada kerana impak kontrak masih dalam jangkaannya dan belum cukup material untuk mengubah prospek keuntungan untuk tempoh terdekat.

 

Firma itu turut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 87 sen sesaham berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) 30 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26.

 

"Pada masa sama, kami mengingatkan antara risiko utama ialah kegagalan menambah buku tempahan, perubahan dasar tarif elektrik serta penamatan kontrak oleh pelanggan," katanya. - DagangNews.com