KUALA LUMPUR 6 Okt - Khazanah Nasional Bhd bersedia menyokong inisiatif kerajaan dalam meneroka peluang di sektor baharu dan strategik sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, kata Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Beliau berkata, sebagai dana kekayaan berdaulat negara, Khazanah sentiasa menjalankan penyelidikan terhadap peluang berpotensi dalam pelbagai sektor, termasuk sektor yang penting kepada teknologi maju, bagi memajukan agenda ekonomi negara.
“Kami sedar terdapat perbincangan kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara Malaysia dan China berkaitan unsur nadir bumi (REE).
"Dan kami bersedia menyokong usaha kerajaan dalam meneroka dan memahami sektor baharu serta strategik, termasuk REE, bagi menjamin masa depan ekonomi Malaysia,” katanya kepada Bernama di luar Forum Megatrends Khazanah 2025 hari ini.
Reuters melaporkan pada Khamis, kedua-dua negara sedang dalam peringkat awal perbincangan mengenai projek pemprosesan unsur nadir bumi, dengan Khazanah dijangka bekerjasama dengan sebuah syarikat milik kerajaan China untuk membina loji penapisan di Malaysia.
Amirul berkata, dana kekayaan berdaulat itu kekal terbuka untuk berinteraksi dengan semua pihak berkepentingan dalam usaha memajukan kepentingan ekonomi jangka panjang Malaysia.
“Khazanah terbuka untuk berbincang dengan semua pihak bagi memajukan kepentingan ekonomi negara,” tambahnya.
Beliau berkata, peranan Khazanah adalah untuk menilai peluang yang bukan sahaja menjana nilai jangka panjang untuk negara, tetapi juga selaras dengan trend global dalam kelestarian dan inovasi.
Pada 27 Ogos 2025, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata kerajaan komited untuk membangunkan serta menarik pelabur berpotensi bagi memperkukuh aktiviti pengeluaran di sepanjang rantaian bekalan REE Malaysia.
Menurutnya, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Peta Jalan Teknologi Bahan Termaju Negara 2021-2030 akan menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan bahan termaju, termasuk sumber bijih mineral REE bernilai tinggi.
Malaysia dianggarkan memiliki 16.1 juta tan unsur nadir bumi bukan radioaktif, dengan nilai pasaran sebanyak RM809.6 bilion. – Bernama








