KUALA LUMPUR 21 Feb (BERNAMA) — Kontrak pajakan RM16 bilion untuk 28 helikopter dalam tempoh 15 tahun termasuk pakej komprehensif merangkumi pelbagai perkhidmatan penting, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata pakej itu merangkumi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), penyimpanan alat ganti dan program latihan untuk kira-kira 1,300 juruterbang dan kru penerbangan.
“Ia juga melibatkan pemindahan kemahiran dan latihan berterusan untuk jurutera dan juruteknik daripada agensi pengguna, serta perlindungan insurans untuk aset, semua anak kapal, penumpang dan pihak ketiga, serta kos pembiayaan atau pinjaman,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menjawab kebimbangan bahawa pembelian langsung mungkin lebih murah, Mohamed Khaled berkata pakej pajakan itu menghapuskan kos sampingan yang perlu diuruskan oleh kerajaan.
Beliau berkata pendekatan kontrak pajakan dipilih untuk menangani ketersediaan aset negara strategik yang rendah disebabkan kekangan kewangan, yang menyebabkan kesediaan aset negara pada tahap yang tidak optimum.
“Kerajaan tidak perlu membuat bayaran pendahuluan, bayaran kemajuan atau perbelanjaan modal kerana di bawah kontrak pajakan, pembayaran hanya akan dimulakan sebaik sahaja helikopter dihantar sepenuhnya.
“Bayaran juga akan dibuat secara bulanan mengikut penggunaan dan tersebar dalam tempoh 15 tahun. Pendekatan ini membolehkan kerajaan memperoleh aset kos tinggi, canggih dan moden tanpa memerlukan peruntukan yang besar,” katanya.
Mohamed Khaled berkata kontrak itu memberi mandat kepada syarikat pemajakan itu untuk menjamin ketersediaan pesawat minimum dan kesediaan operasi sekurang-kurangnya 85 peratus pada setiap masa.
Beliau berkata ketersediaan pesawat akan diuruskan menggunakan konsep ‘power by the hour’ (PBH), memastikan alat ganti sentiasa tersedia dan bukannya diperoleh hanya apabila diperlukan.
Selain itu, semua risiko berkaitan penyediaan dan pemilikan armada akan ditanggung oleh pemberi pajak, yang bertanggungjawab untuk menginsuranskan armada sepanjang tempoh pajakan, katanya.
“Pemindahan risiko kewangan dan operasi kepada syarikat ini membolehkan agensi pengguna menumpukan sepenuhnya pada operasi udara tanpa perlu risau tentang penyelenggaraan pesawat, perolehan alat ganti, ketersediaan pembiayaan atau latihan,” tambahnya. — Bernama








