Keuntungan UOA Development jatuh 43.3% kepada RM41.94 juta pada 1QFY2026 akibat pengiktirafan hasil pembangunan yang lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan UOA Development jatuh 43.3% kepada RM41.94 juta pada 1QFY2026 akibat pengiktirafan hasil pembangunan yang lebih rendah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei – UOA Development Bhd mencatatkan penurunan keuntungan yang ketara pada suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026), apabila keuntungan bersihnya susut 43.3% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata penurunan itu dipengaruhi oleh pengiktirafan pendapatan pembangunan yang lebih rendah serta ketiadaan keuntungan sekali sahaja yang diperoleh pada suku sebelumnya.

 

Syarikat pemaju hartanah itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM41.94 juta, berbanding RM73.95 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

“Hasil kumpulan merosot 25.2% kepada RM113.86 juta berbanding RM152.1 juta sebelum ini, disebabkan ketiadaan projek berskala besar yang membolehkan pengiktirafan pendapatan yang lebih tinggi dalam tempoh berkenaan.

 

“Selain itu, kumpulan turut tidak merekodkan sebarang keuntungan luar biasa seperti yang diperoleh pada suku sebelumnya yang memberi tekanan kepada keuntungan keseluruhan,” katanya dalam makluman itu.

 

Dari segi prestasi suku ke suku, keuntungan sebelum cukai merosot 80.8%, dipengaruhi oleh suku sebelumnya yang lebih tinggi hasil sumbangan pelaburan hartanah serta pengiktirafan pendapatan lebih kukuh dengan siapnya sebuah pusat perubatan di Bangsar South.

 

Syarikat berkata hasil pada suku tersebut disumbangkan oleh projek sedia ada seperti Bamboo Hills Residences, Aster Hill, Duo Tower dan Aethera Residences, tanpa sebarang pemacu besar baharu yang meningkatkan kadar pengiktirafan hasil.

 

“Walaupun keuntungan susut, jualan baharu kumpulan masih mencatat RM130.7 juta, menunjukkan permintaan terhadap projek sedia ada masih stabil di tengah-tengah sentimen pasaran hartanah yang lebih berhati-hati.” katanya.

 

Sementara itu, UOA Real Estate Investment Trust sebelum ini membatalkan cadangan pelupusan tiga hartanah bernilai RM200 juta daripada UOA Development selepas gagal memperoleh kelulusan pemegang unit REIT.

 

Transaksi berkenaan sebelum ini dijangka menjana keuntungan pelupusan bersih kira-kira RM35.8 juta kepada UOA Development yang menjadi antara faktor yang boleh menyokong keuntungan kumpulan.

 

Kumpulan turut memaklumkan nilai jualan belum dibilkan berjumlah RM612.4 juta setakat akhir Mac 2026, yang akan direkodkan secara berperingkat pada tahun-tahun akan datang dan memberi jaminan kepada pendapatan masa hadapan.

 

Dalam pada itu, UOA Development berkata ia akan terus meneroka peluang strategik bagi pertumbuhan jangka panjang meskipun berdepan cabaran pasaran hartanah yang lebih perlahan.

 

Tiada dividen diumumkan bagi suku ini, selaras dengan prestasi keuntungan yang lebih rendah.

 

Saham UOA Development ditutup naik satu sen atau 0.6% kepada RM1.83 pada sesi dagangan tengah hari Selasa, dengan permodalan pasaran sekitar RM4.86 bilion.

 

Secara keseluruhan, prestasi suku pertama kumpulan menunjukkan tekanan pendapatan jangka pendek, namun masih disokong oleh jualan projek sedia ada serta tempahan belum diiktiraf yang kukuh untuk prospek masa depan. - DagangNews.com