KUALA LUMPUR 22 Ogos - Gas Malaysia Bhd, pengedar tunggal gas asli di Semenanjung Malaysia, melaporkan penurunan 9.9% keuntungan bersih tahun ke tahun bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY2025), disebabkan harga jualan gas yang lebih rendah tidak mengimbangi peningkatan jumlah jualan dan yuran tol.
Keuntungan bersih susut kepada RM99.12 juta berbanding RM110.05 juta setahun lalu, manakala hasil turut merosot 9.1% kepada RM1.8 bilion daripada RM1.98 bilion, menurut makluman syarikat kepada Bursa Malaysia.
Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 6 sen sesaham, berjumlah RM77 juta, yang akan dibayar pada 31 Oktober.
Gas Malaysia berkata, margin sumbangan purata gas asli yang lebih lemah, peningkatan perbelanjaan pentadbiran serta kos kewangan yang lebih tinggi telah menekan keuntungan.
Bagaimanapun, faktor tersebut sebahagiannya diimbangi oleh jumlah gas yang lebih tinggi dijual serta sumbangan lebih kukuh daripada usaha sama.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, keuntungan bersih mencatat RM199.26 juta, menurun 6.3% berbanding RM212.68 juta setahun lalu, manakala hasil merosot 5.4% kepada RM3.65 bilion daripada RM3.86 bilion.
Dengan latar belakang momentum domestik yang semakin sederhana, susulan Bank Negara Malaysia baru-baru ini menurunkan unjuran KDNK 2025 kepada 4%-4.8%, kumpulan itu berkata ia kekal fokus meningkatkan kecekapan operasi, daya saing dan meneruskan peluang pertumbuhan strategik.
Gas Malaysia berkata, syarikat itu ia berada pada kedudukan baik untuk menyampaikan prestasi “memuaskan” bagi tahun kewangan 2025, sambil mengekalkan pendirian berhati-hati dalam ketidaktentuan pasaran. - DagangNews.com








