KUALA LUMPUR 26 Mei – Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd mencatatkan prestasi kewangan paling lemah dalam tempoh dua dekad bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026), dipengaruhi oleh permintaan pengguna yang lemah, tekanan persaingan serta gangguan rantaian bekalan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Panasonic berkata ia merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM33.93 juta, susut 26.46% berbanding RM46.14 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
“Prestasi tersebut turut menjadi yang terendah sejak FY2006, mencerminkan tekanan berterusan terhadap operasi kumpulan dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
“Hasil tahunan turut merosot 16.15% kepada RM689.92 juta daripada RM822.78 juta dan merupakan paras terendah sejak FY2010, sejajar dengan kelembapan jualan domestik dan eksport,” katanya dalam makluman tersebut.
Panasonic Manufacturing berkata prestasi lebih lemah itu didorong oleh permintaan yang hambar di pasaran tempatan dan luar negara susulan persaingan industri yang semakin sengit.
Selain itu, gangguan penghantaran serta kelewatan penghantaran ke rantau Timur Tengah akibat konflik geopolitik turut menjejaskan keupayaan syarikat memenuhi pesanan dalam tempoh ditetapkan.
Syarikat turut memaklumkan sebanyak RM14.5 juta jualan tertunda tidak dapat diiktiraf pada suku keempat berikutan kesesakan rantaian penghantaran di Timur Tengah yang memberi kesan kepada prestasi suku keempat (4QFY2026).
Bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026, keuntungan bersih susut 56.79% kepada RM3.78 juta daripada RM8.76 juta pada 4QFY2025, manakala hasil turun 10.65% kepada RM160.47 juta.
Dalam masa sama, pendapatan kewangan turut berkurang berikutan pengurangan baki tunai dan bank susulan prestasi operasi yang lebih lemah, selain kadar faedah lebih rendah ke atas pelaburan dana berbanding tahun sebelumnya.
Bahagian keuntungan daripada syarikat sekutu juga menurun akibat persekitaran pasaran yang lebih kompetitif.
Tiada dividen diumumkan bagi suku terbaharu, menjadikan jumlah dividen FY2026 sebanyak 15 sen sesaham, jauh lebih rendah berbanding 62 sen pada FY2025.
Melangkah ke hadapan, Panasonic menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar dengan tekanan luaran dan persaingan yang berterusan, yang berpotensi mengekalkan tekanan terhadap prestasi kumpulan dalam tempoh akan datang. - DagangNews.com








