Keuntungan GuocoLand susut 9.48% kepada RM6.67 juta pada 2QFY26, hasil cecah paras tertinggi tiga tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan GuocoLand susut 9.48% kepada RM6.67 juta pada 2QFY26, hasil cecah paras tertinggi tiga tahun

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Jan - GuocoLand (Malaysia) Bhd, cabang hartanah Kumpulan Hong Leong, mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 9.48% kepada RM6.67 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025 (2QFY2026), berbanding RM7.36 juta dalam tempoh sama tahun lalu, walaupun hasil meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata prestasi keuntungan terjejas berikutan ketiadaan sumbangan keuntungan daripada Menara Utara Emerald Hills susulan penyerahan milikan kosong pada Disember 2024, selain bahagian keuntungan yang lebih rendah daripada Emerald Rawang.

 

Hasil suku tahunan meningkat 4.62% kepada RM150.82 juta daripada RM144.15 juta sebelum ini, menjadikannya hasil tertinggi sejak 4QFY2022, apabila kumpulan merekodkan RM172.08 juta.

 

Peningkatan hasil didorong oleh prestasi kukuh projek Emerald 9 di Cheras yang terus mencatat jualan memberangsangkan, serta kadar penghunian lebih tinggi di Menara HLX, hartanah pelaburan yang dimiliki oleh Tower REIT.

 

Prestasi bahagian hotel turut menunjukkan peningkatan, disokong oleh kadar purata bilik yang lebih tinggi dan sumbangan hasil makanan dan minuman yang lebih kukuh.

 

Tiada dividen diisytiharkan bagi suku tersebut.

 

Bagi separuh pertama FY2026, GuocoLand mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 24.27% kepada RM12.77 juta, berbanding RM10.27 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Hasil separuh tahun meningkat 28.08% kepada RM273.53 juta daripada RM213.56 juta.

 

Mengulas prospek, GuocoLand menjangkakan pasaran hartanah Malaysia akan berkembang secara positif tetapi sederhana pada 2026, disokong oleh dasar kewangan yang stabil serta prospek ekonomi yang semakin bertambah baik.

 

Kumpulan itu berkata tumpuan akan terus diberikan kepada pelupusan inventori siap bagi memperkukuh aliran tunai dan membolehkan penempatan semula modal untuk pembangunan masa hadapan. Pembangunan projek perindustrian di Jasin pula masih dalam proses semakan dan kelulusan pihak berkuasa.

 

Bagi segmen hotel dan pelaburan hartanah, GuocoLand kekal optimis terhadap kesinambungan sumbangan hasil yang lebih baik. 

 

Saham GuocoLand ditutup meningkat setengah sen atau 0.6% kepada 84 sen pada Rabu, menjadikan permodalan pasaran kumpulan itu sebanyak RM588 juta. Sejak awal tahun, kaunter tersebut melonjak 40% atau 24 sen. - DagangNews.com