KUALA LUMPUR 13 Nov – Keuntungan bersih Pharmaniaga Bhd susut 92.8% pada suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY2025) berbanding tempoh sama tahun lalu, berikutan ketiadaan pelepasan penalti sekali sahaja berjumlah RM94.9 juta daripada kerajaan.
Bagi suku dalam kajian, keuntungan bersih Pharmaniaga ialah RM7.28 juta atau 0.28 sen sesaham, merosot daripada RM101.03 juta atau 7.01 sen sesaham, menurut pemakluman syarikat kepada bursa.
Bagaimanapun, hasil suku berkenaan hanya menurun sedikit, iaitu 2.19% kepada RM1 bilion berbanding RM1.03 bilion pada suku sama tahun lalu.
Pharmaniaga dalam satu kenyataan berkata pelepasan penalti itu berkaitan dengan ketidakpatuhan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd terhadap beberapa piawaian prestasi di bawah perjanjian konsesi terdahulu, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semasa pandemik Covid-19.
“Tanpa mengambil kira pelepasan penalti sekali sahaja itu, kumpulan mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 11.3% berbanding suku yang sama tahun lalu. Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM32.7 juta bagi 3QFY2025,” katanya.
Tiada dividen diisytiharkan bagi suku berkenaan.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September, keuntungan bersihnya menyusut 68.48% kepada RM40.82 juta berbanding RM129.48 juta pada 9MFY2024.
Namun, hasil meningkat 5.52% kepada RM2.99 bilion daripada RM2.83 bilion pada 9MFY2024, didorong permintaan pelanggan yang lebih kukuh dalam segmen konsesi.
Walaupun berdepan persekitaran kos yang mencabar, kumpulan berjaya mengekalkan keuntungan yang stabil dan mencapai pertumbuhan hasil yang berterusan, kata Pengarah Urusan Datuk Zulkifli Jafar dalam kenyataan itu.
Keluar dari PN17
Pharmaniaga turut menyatakan syarikat berada di landasan untuk keluar daripada status Amalan Nota 17 (PN17) seperti dijadualkan.
“Hasil suku ini mencerminkan kemajuan berterusan dalam mengukuhkan asas operasi serta meningkatkan kecekapan merentas semua segmen perniagaan,” tambah Zulkifli.
Pharmaniaga melaporkan perkembangan kukuh dalam segmen biofarmaseutikal, memperoleh lebih RM10 juta daripada lima produk vaksin dan mengekalkan kemajuan program penyetempatan insulin.
Bahagian farmaseutikal menambah 160 produk baharu ke APPL, melancarkan lima produk generik dan memperoleh 12 kelulusan sepanjang 2025.
Lengan logistiknya mencatat peningkatan 14.5% dalam jumlah jualan bagi sembilan bulan sehingga 30 September 2025, disokong usaha pengoptimuman kos melalui digitalisasi.
Di Indonesia, kumpulan membuka cawangan ke-37 di Palu dan bekerjasama dengan rangkaian farmasi terkemuka bagi perkhidmatan organisasi pembangunan dan pembuatan kontrak (CDMO).
Harga saham Pharmaniaga ditutup turun setengah sen atau 1.89% kepada 26 sen pada Khamis, memberikan syarikat itu modal pasaran RM1.7 bilion. - DagangNews.com








