Keuntungan Astro susut kepada RM13.48 juta, hasil RM703.09 juta pada Q12025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan Astro susut kepada RM13.48 juta, hasil RM703.09 juta pada Q12025

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 20 Jun - Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd bagi suku pertama berakhir pada 30 April 2025 (1Q25) menyusut kepada RM13.48 juta berbanding RM17.01 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan syarikat juga menurun kepada RM703.09 juta daripada RM772.53 juta, menurut makluman syarikat pengendali televisyen berbayar itu kepada Bursa Malaysia.

 

Astro menyatakan penurunan ini disebabkan oleh penyusutan 6% dalam hasil langganan televisyen serta penurunan 13% dalam hasil pengiklanan.

 

 

 

 

 

Akibatnya, pendapatan sesaham bagi suku tersebut juga lebih rendah pada 0.26 sen berbanding 0.33 sen sebelumnya.

 

“Kami menghasilkan 10,000 jam kandungan baharu setiap tahun untuk memenuhi permintaan ini, merangkumi rancangan ikonik, drama, Astro Originals yang mencetuskan pemikiran, animasi dan filem.

 

“Kami juga sedang memperhalusi hasil kewangan daripada rentas platform bagi hak harta intelek (IP) kandungan kami — merangkumi tayangan pawagam, platform video dan digital, pelesenan serta perjanjian pengiklanan, dan untuk mendorong pengalaman secara fizikal,” katanya.

 

Namun begitu, Astro menyatakan bahawa cetak rompak kandungan masih menjadi ancaman terbesar, dan kumpulan itu terus giat memerangi isu tersebut.

 

Astro menambah bahawa mahkamah di seluruh Malaysia baru-baru ini telah memihak kepadanya dengan keputusan-keputusan penting dalam tempoh 128 bulan yang lalu, termasuk pemberian ganti rugi berkanun serta hukuman lebih berat ke atas penjual peranti penstriman haram (ISD) dan premis makanan & minuman (F&B) yang menyiarkan kandungannya secara haram.

 

“Kami akan terus melobi bagi pembaharuan peraturan serta tindakan penguatkuasaan yang lebih ketat, bukan hanya untuk melindungi Astro, tetapi juga untuk menjamin masa depan industri kreatif Malaysia.

 

“Melihat kepada persekitaran yang mencabar, kumpulan ini kekal berhati-hati, memantau keadaan perniagaan dengan teliti dan memastikan disiplin kos yang berkesan sementara pengguna dan perniagaan menyesuaikan diri dengan pembaharuan dalaman dan ketidaktentuan luaran,” katanya. - DagangNews.com