KUALA LUMPUR 18 Julai – Keuntungan bersih Ancom Nylex Bhd susut 22.1 peratus kepada RM63.49 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025 (FY2025), berbanding RM81.47 juta pada tahun sebelumnya.
Prestasi lemah itu didorong oleh kos pengangkutan fret yang meningkat serta ketidaktentuan kadar tukaran mata wang asing.
Menurut makluman di Bursa Malaysia, pendapatan kumpulan juga menurun kepada RM1.87 bilion berbanding RM2 bilion sebelumnya, dipengaruhi sumbangan lebih lemah daripada segmen bahan kimia industri berikutan harga jualan dan volum yang lebih rendah.
Pendapatan sesaham (EPS) merosot kepada 6.09 sen berbanding 8.58 sen pada tahun kewangan sebelumnya.
Bagi FY2025, Ancom Nylex mengagihkan dividen melalui saham perbendaharaan, melibatkan empat saham bagi setiap 100 saham dipegang untuk dividen interim pertama, dan satu saham bagi setiap 100 saham dipegang bagi dividen interim kedua.
Bagi suku keempat berakhir 31 Mei 2025 (4QFY2025), keuntungan bersih menyusut kepada RM17.07 juta berbanding RM18.44 juta setahun lalu, manakala hasil turun kepada RM459.37 juta daripada RM487.24 juta.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Lee Cheun Wei, berkata tahun kewangan tersebut merupakan tempoh mencabar dengan pelbagai ketidaktentuan geopolitik global yang menyumbang kepada lonjakan kos fret dan turun naik forex yang tidak memihak kepada syarikat.
“Ketidaktentuan ini menjejaskan prestasi keseluruhan syarikat. Malah, tarif yang semakin meningkat dan keadaan perdagangan yang tidak menentu boleh memberi impak lanjut terhadap unjuran ekonomi global dan domestik.
“Keadaan ini menjadikan penetapan trend kos bahan mentah dan harga pasaran lebih mencabar,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Namun begitu katanya, prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal positif bagi tempoh 12 bulan akan datang, dengan peluang peningkatan sekiranya keadaan global kembali stabil.
Mengulas prospek syarikat, Lee berkata syarikat telah memulakan pengeluaran komersial bagi bahan aktif (AI) baharu dengan hasil pengeluaran yang memberangsangkan dan penghantaran kepada pelanggan telah bermula.
“Ini merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh kedudukan kami dalam rantaian nilai, dan mengesahkan peranan kami sebagai satu-satunya pengeluar AI untuk racun rumpai berskala besar di Asia Tenggara,” katanya.
Beliau turut menambah, segmen monosodium methanearsonate kekal strategik memandangkan syarikat adalah antara dua pengeluar global, dan terus mengambil peluang daripada jurang permintaan pasaran.
Secara keseluruhan, permintaan bagi segmen agrokimia syarikat kekal stabil, dan Ancom Nylex optimis bahawa tahun kewangan 2026 (FY2026) akan menunjukkan prestasi yang lebih baik berdasarkan peluang yang menjanjikan. - DagangNews.com








