KUALA LUMPUR 27 Nov – RHB Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Kerjaya Prospek Group Bhd susulan prestasi kewangan sembilan bulan 2025 (9M25) yang mengatasi jangkaan, sekali gus menyemak naik harga sasaran saham kepada RM3.35 daripada RM3.15 sebelum ini.
Dalam nota penyelidikannya, RHB Research memaklumkan Kerjaya Prospek merekodkan keuntungan teras 9M25 sebanyak RM177.9 juta, yang mewakili 89 peratus daripada unjuran keuntungan penuh syarikat bagi FY25 dan 88 peratus daripada unjuran penganalisis.
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi lebih kukuh daripada jangkaan itu didorong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen pembinaan dan hartanah.
“Sehingga kini, jumlah dividen yang dimaklumkan bagi FY25 setakat ini telah mencecah sembilan sen sesaham berbanding unjuran kami bagi dividen penuh FY25 sebanyak 12 sen sesaham,” katanya.
Dari segi perolehan projek, RHB Research berkata kemenangan kontrak Kerjaya Prospek setakat tahun kewangan ini telah mencapai sasaran pengisian semula projek FY25 kumpulan sebanyak RM1.6 bilion.
Sementara itu, buku pesanan tertunggak terkini Kerjaya Prospek kini berjumlah RM4.1 bilion, bersamaan nisbah perlindungan 2.4 kali, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh untuk dua hingga tiga tahun akan datang.
Menurut RHB Research, sebarang kemenangan kontrak dalam segmen perindustrian berpotensi menjadi pemangkin penilaian semula saham.
“Dalam taklimat terakhir pada Ogos lalu, syarikat dimaklumkan Kerjaya Prospek turut membida tender bernilai antara RM2 bilion hingga RM3 bilion berkaitan projek perindustrian seperti pusat data, kilang dan gudang menerusi usaha sama dengan Samsung C&T,” katanya.
Susulan prestasi kewangan yang lebih memberangsangkan itu, RHB Research turut menyemak naik unjuran pendapatan Kerjaya Prospek bagi FY25 hingga FY27 masing-masing sebanyak 14.7 peratus, 14.3 peratus dan 13.4 peratus, didorong kemajuan bil yang lebih tinggi daripada projek hartanah dan pembinaan terpilih.
“Sehubungan itu, syarikat menyemak naik harga sasaran kepada RM3.35 daripada RM3.15,” katanya. - DagangNews.com








