KUALA LUMPUR 27 Feb – Prospek perolehan kontrak baharu IJM Corporation Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (FY27) dijangka berdepan tekanan susulan ketidaktentuan semasa, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Firma penyelidikan itu kini mengunjurkan kontrak baharu IJM bagi FY27 akan menyederhana kepada RM3.5 bilion, berbanding momentum lebih kukuh sebelum ini.
Menurut HLIB, cadangan penggabungan antara Sunway Bhd dan IJM, selain siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), telah mengaburi prospek jangka pendek kumpulan.
“Bagaimanapun dari sudut pendapatan, kami menjangkakan pemulihan lebih kukuh dalam suku akan datang apabila bil kemajuan meningkat dan margin keuntungan sebelum cukai bertambah kepada 6.0% hingga 9.0% berbanding 4.9% ketika ini,” katanya dalam satu nota kajian.
Buku tempahan kekal kukuh, projek pusat data pacu perolehan
HLIB memaklumkan buku tempahan tertunggak segmen pembinaan IJM berjumlah RM8.4 bilion, bersamaan 2.8 kali hasil pembinaan FY25, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang munasabah.
Bagi FY26, IJM berjaya meraih projek baharu bernilai RM6.5 bilion, sejajar dengan panduan pengurusan, didorong kejayaan menembusi pelanggan pusat data hiperskala bertaraf premium.
Dalam segmen hartanah, jualan suku ketiga FY26 bagaimanapun perlahan pada RM338 juta berikutan sentimen pengguna yang lemah. IJM merancang melancarkan projek baharu bernilai RM800 juta bagi baki FY26, diterajui pembangunan PSP dan The Light City.
Kos inkubasi hartanah pelaburan di Malaysia dan United Kingdom turut menjejaskan prestasi, manakala pengiktirafan beberapa jualan tanah ditangguhkan ke FY27.
Segmen industri dan infrastruktur bercampur
Segmen industri kekal berdaya tahan dengan hasil meningkat 25.2% dan keuntungan sebelum cukai naik 7.9%. Bahagian cerucuk IJM dilaporkan menguasai sekitar 60% pasaran pembinaan pusat data serta mempunyai keupayaan memindahkan kenaikan kos kepada pelanggan.
Dalam segmen infrastruktur, jumlah kendalian pelabuhan bagi tempoh sembilan bulan FY26 susut 16% kepada 15.8 juta tan, terjejas oleh kerja penyelenggaraan pelanggan utama di tengah permintaan keluli yang lemah.
Trafik lebuh raya pula kekal stabil disokong laluan domestik, manakala syarikat sekutu West Coast Expressway mencatatkan penyusutan kerugian.
HLIB turut menyemak turun unjuran jualan hartanah FY26 kepada RM1.8 bilion daripada RM2 bilion, serta jumlah kendalian pelabuhan kepada 20 juta tan daripada 22 juta tan.
Walaupun demikian, firma itu terus mengesyorkan pemegang saham menerima tawaran Sunway dengan harga sasaran RM3.15, sambil menyatakan saham IJM kini diniagakan sedikit di bawah permodalan pasaran Sunway Construction Group Bhd, dengan potensi kenaikan apabila sinergi penggabungan direalisasikan. - DagangNews.com








