​​​​​​​Kes pemain warisan isu teknikal, bukan di bawah bidang kuasa SPRM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​Kes pemain warisan isu teknikal, bukan di bawah bidang kuasa SPRM

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 29 Sept - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada unsur salah laku di bawah undang-undang antirasuah negara dikesan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen pendaftaran bagi tujuh pemain berstatus warisan yang dikemukakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada FIFA.

 

SPRM berkata semakan mereka menunjukkan isu tersebut bersifat teknikal dan di luar bidang kuasa SPRM, sekali gus membawa perkembangan penting dalam kemelut yang menggoncang bola sepak Malaysia sepanjang minggu lalu.

 

“Berdasarkan semakan awal, SPRM menekankan bahawa isu ini dilihat berkaitan dengan proses pentadbiran teknikal dan bukan di bawah bidang kuasa SPRM pada ketika ini,” kata suruhanjaya tersebut dalam satu kenyataan.

 

“Selain itu, tiada unsur salah laku di bawah Akta SPRM 2009 dikenal pasti setakat ini.”

 

SPRM memaklumkan pihaknya telah berhubung dengan Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan telah menerima beberapa dokumen berkaitan permohonan kewarganegaraan serta proses pendaftaran pemain yang terlibat.

 

Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan tidak akan menghubungi FIFA dan memutuskan untuk menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada FAM bagi diselesaikan terus dengan badan induk bola sepak dunia tersebut.

 

“SPRM menggesa semua pihak untuk membenarkan proses penyelesaian yang sedang berlangsung diteruskan dan mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu perbincangan antara pihak-pihak yang terlibat,” tambah kenyataan itu. - DagangNews.com