Kerugian PGF Capital akibat pembukaan kilang baharu diselamatkan insentif cukai - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerugian PGF Capital akibat pembukaan kilang baharu diselamatkan insentif cukai - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 April — PGF Capital Berhad hampir mencatatkan kerugian dari segi hasil susulan pembukaan kilang baharu di Kulim, Kedah yang dijangka mula beroperasi pada separuh pertama 2025, kata TA Securities.


Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut berkata, unjuran kemerosotan hasil berkenaan dapat diselamatkan apabila syarikat itu akhirnya berjaya memperoleh kelulusan untuk skim insentif cukai Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).


Ia berkata, pengecualian cukai korporat lima tambah lima tahun itu dilihat sebagai jaminan pendapatan jangka pertengahan hingga panjang, ketika syarikat bergelut untuk mengekalkan margin keuntungan kumpulan secara keseluruhan.


"Berdasarkan pengiraan kami, jumlah penjimatan cukai berjumlah RM86.2 juta bagi tempoh 10 tahun," kata TA Securities dalam satu nota kajiannnya yang merujuk kilang baharu PGF Capital di Taman Perindustrian Timur Kulim.


Pada suku keempat berakhir 28 Februari 2025, ia mencatatkan keuntungan bersih RM13.9 juta, berbanding kerugian bersih RM1.8 juta setahun sebelumnya dan hasil meningkat sedikit kepada RM33.69 juta daripada RM33.34 juta.


Syarikat itu sebelum ini dikenali sebagai Poly-Glass Fiber Berhad, terlibat dalam pembuatan penebat bulu mineral kaca dan merupakan pengeluar penebat terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti pemasangan tahunan sebanyak 25,000 tan.


Kira-kira 70 peratus daripada produknya dieksport ke luar negara, terutama ke Australia dan New Zealand selain kumpulan berkenaan menerusi anak syarikatnya turut bergiat aktif dalam perniagaan pembangunan hartanah di Perak.


TA Securities menambah, PGF Capital bagaimanapun perlu bertahan kerana insentif cukai hanya bermula apabila kilang baharunya itu dapat meningkatkan tahap pengeluarannya kepada 30 peratus daripada kapasiti terpasang.


"Justeru kumpulan itu buat masa ini berusaha melakukan pembalikan kerugian rosot nilai ke atas tanahnya di Tanjung Malim, Perak dengan menilai semula purata kaki persegi (psf) kepada RM2.90 daripada RM2.57," katanya.


Nilai tersebut kata firma penyelidikan itu berdasarkan jumlah bawaan RM167.5 juta dan ini masih merupakan diskaun yang ketara kepada harga pasaran semasa dianggarkan boleh mencecah RM40 sekaki persegi (psf) hingga RM45psf.


Sementara itu, bahagian pembangunan hartanah PGF Capital turut memiliki tanah pajakan seluas 530 hektar dikenali Diamond Creeks Country Retreat di Tanjong Malim, Perak yang bersebelahan dengan Automotive Hi-Tech Valley.


Firma penyelidikan berkenaan masih mengekalkan penilaian harga sasaran sesaham untuk kumpulan tersebut kepada RM3 sesaham, serta meneruskan saranan "beli" ke atas syarikat itu. - DagangNews.com