Kerjaya Prospek catat untung bersih Q2 RM54.4 juta, umum dividen 3.0 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjaya Prospek catat untung bersih Q2 RM54.4 juta, umum dividen 3.0 sen sesaham

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Kerjaya Prospek Group Berhad mencatatkan prestasi kukuh dengan pertumbuhan dua angka dalam hasil dan keuntungan bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (Q2FY25).

 

Bagi Q2FY25, hasil kumpulan meningkat 36.4% tahun ke tahun kepada RM539.5 juta, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) melonjak 46.6% kepada RM54.4 juta. 

 

Segmen teras pembinaan kekal mantap dengan pertumbuhan hasil 25.4% kepada RM470.0 juta, manakala segmen pembangunan hartanah melonjak lebih dua kali ganda kepada RM68.8 juta, disokong oleh kadar pengambilan yang kukuh bagi projek pembangunan The Vue @ Monterez dan Papyrus @ North Kiara.

 

Bagi separuh pertama 2025 (1H2025), hasil kumpulan meningkat 38.1% kepada RM1.01 bilion, manakala PATAMI naik 42.4% kepada RM100.5 juta. 

 

Segmen pembinaan menyumbang RM892.2 juta, meningkat 26.7% tahun ke tahun, manakala hasil daripada pembangunan hartanah melonjak tiga kali ganda kepada RM117.9 juta berbanding RM27.2 juta tahun sebelumnya.

 

Kerjaya Prospek turut mengumumkan dividen interim kedua satu peringkat tunggal sebanyak 3.0 sen sesaham, berjumlah RM37.8 juta yang akan dibayar pada 26 September 2025. 

 

Sehingga kini, jumlah dividen terkumpul adalah 6.0 sen sesaham atau RM75.5 juta, bersamaan 75.1% daripada PATAMI.

 

Berdasarkan harga saham RM2.10 setakat 22 Ogos 2025, pulangan dividen 12 bulan terkini adalah 7.6%.

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata, prestasi kewangan kukuh bagi Q2FY25 tidak mungkin dicapai tanpa dedikasi dan profesionalisme seluruh wara kerja syarikat.

 

"Pengambilalihan tiga lot tanah pegangan bebas berkeluasan 7.4 ekar di sepanjang Jalan Puchong, Kuala Lumpur baru-baru ini adalah langkah strategik dalam memperkukuh landasan pembangunan hartanah kami di Lembah Klang.

 

“Pada masa sama, kami kekal fokus memacu kecemerlangan dan pertumbuhan mampan dalam perniagaan pembinaan. 

 

"Ke hadapan, kami berhasrat untuk mengukuhkan momentum pertumbuhan jangka panjang dan memberikan pulangan konsisten kepada pemegang saham melalui dasar pembayaran dividen yang tinggi,” katanya.

 

Setakat 30 Jun 2025, Kerjaya Prospek berada dalam kedudukan kewangan sihat dengan tunai bersih RM327.6 juta.

 

Sehingga kini, kumpulan telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM870.3 juta, menjadikan jumlah buku pesanan kerja terkini sebanyak RM3.9 bilion. - DagangNews.com